Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fyna Jebat, madu sudah berbaik lepas insiden 'tarik rambut'

Penyanyi Fyna Jebat mengakui lega selepas dia dan madunya, Zalina Zaini menarik balik laporan polis membabitkan pergaduhan mereka pada Januari lalu.

Katanya, dia berharap selepas ini tiada lagi insiden memalukan membabitkan mereka di khalayak ramai.

“Alhamdulillah, kami memang sudah berbaik. Selepas ini orang ramai tidak akan boleh nampak lagi insiden seperti yang pernah berlaku tempoh hari.

“Terima kasih, saya tahu ramai yang mendoakan kami. Jadi, teruskanlah mendoakan kebahagian saya dan suami,” katanya.

Fyna berkata demikian pada majlis pelancaran produk Eodos Serum di sebuah hotel di Bangi, Selangor semalam.

Terdahulu, Fyna dilapor terbabit dalam pertelingkahan dengan madunya di sebuah restoran di Shah Alam.

Media melaporkan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan berlaku insiden tarik rambut di dalam restoran tersebut.

Hasil siasatan polis mendapati pergaduhan berlaku akibat isteri kedua berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh tempat awam).

Awal Januari lalu, Fyna mengaku sudah bernikah dengan bekas pemain bola sepak popular, Zainal Abidin Hassan.

Begitu pun katanya, dia tiada masalah untuk duduk semeja dengan madu, namun sibuk memenuhi tuntutan kerjaya.

“Saya tidak kisah jika hendak duduk atau makan semeja. Cuma ketika ini, saya terkekang dengan jadual kerja yang padat.

“Tapi di pihak dia, saya tidak berani untuk beri sebarang komen,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan bergurau menggunakan aplikasi di telefon pintar yang melabelkannya sebagai ‘penyondol’, adik kepada pelakon Ayda Jebat itu berkata itu hanyalah sekadar ‘permainan’.

Katanya lagi, dia tidak nampak ia sebagai satu isu besar.

“Itu cuma permainan, tak ada apa-apa pun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS