Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Lu dengan family mesti mati' - Pengarah Mentega Terbang diugut bunuh

"Lu dengan family mesti mati". Berikut adalah antara nota ugutan yang ditinggalkan di rumah pengarah filem Khairi Anwar di Selangor. Keretanya juga disimbah dengan cat merah dan hitam.

Khairi adalah pengarah Mentega Terbang yang mengundang kontroversi baru-baru ini selepas dilihat sesetengah pihak sebagai menghina Islam.

Nota lain yang ditinggalkan di rumahnya berbunyi: "Islam pasti bangkit! #MentegaTerbang", "Mentega Terbang, jangan cabar Islam", "Ingat family selamat Mentega Terbang?" dan "Tengok lu punya langsi Mentega Terbang".

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengarah berusia 31 tahun itu berkata kereta pelakon Arjun Thanaraju juga disimbah dengan cat merah dan asid, di rumahnya di Ampang.

Namun, tidak dapat dipastikan jika Arjun turut menerima ugutan yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang Zaid Hassan ketika dihubungi, mengesahkan Khairi telah membuat laporan polis pagi ini.

Serangan itu sehari selepas polis mengambil keterangan Khairi dan enam pelakon dalam filem tersebut.

Mentega Terbang disiarkan di platform penstriman Viu dan mengisahkan tentang Aishah, remaja berusia 15 tahun yang bergelut dengan persoalan kehidupan selepas mati dalam pelbagai agama, setelah ibunya didiagnos menghidap penyakit kritikal.

Sejumlah pihak menyifatkan filem itu sebagai menghina Islam kerana memaparkan seorang yang beragama Islam cuba mendalami agama lain.

Filem itu kini disiasat mengikut Seksyen 289A dan 505(b) Kanun Keseksaan, Serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem Mentega Terbang mendapati, terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Malaysiakini telah menghubungi Khairi serta peguam yang mewakili pelakon Mentega Terbang untuk mendapat maklum balas lanjut berhubung insiden ini.

Patuhi undang-undang

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan rakyat supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh merosakkan harta benda dan mengancam nyawa.

Dia berkata demikian dalam ciapannya di Twitter berhubung gambar-gambar kenderaan yang didakwa milik pengarah dan pelakon-pelakon filem Mentega Terbang dirosakkan selain nota ugutan daripada individu tidak dikenali yang tular di platform media sosial itu.

“Saya kecam sekeras-kerasnya ugutan ini serta sebarang tindakan di luar batas undang-undang. Patuhi undang-undang, jangan mengambil tindakan sendiri,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS