Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Yasin susut sebab tiroid, bukan penjara tak beri makan

Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman berkata berat badannya kian menyusut akibat menderita penyakit tiroid sejak lima bulan lalu ketika dipenjara.

Menurut Yasin, dia disahkan menghidap penyakit itu sejak November lalu dan mengakibatkan berat badannya turun sebanyak 18 kilogram.

Yasin atau nama penuhnya, Muhammad Yasin Sulaiman berkata demikian kerana enggan ada pihak beranggapan Jabatan Penjara tidak memberi makan atau mengabaikan kebajikan dirinya kerana perubahan yang dialami.

“Seperti semua dapat lihat, saya kurus sekarang. Semasa masuk penjara dulu berat badan saya 66 kilogram dan sekarang 48 kilogram.

“Saya tidak mahu ada orang berandaian penjara tidak beri makan. Penjara banyak makanan sehingga melimpah ruah dan sebenarnya ramai saja banduan yang gemuk.

“Saya derita tiroid selama lima bulan tapi Alhamdulillah dengan bantuan dan pertolongan pihak penjara, saya mendapat ubat-ubatan serta menjalani rawatan susulan setiap bulan,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.

Yasin kini dibicarakan atas dakwaan menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lalu.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Yasin, 47, juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5.30 petang pada tarikh yang sama.

Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 ADB dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menanam pokok kanabis, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dipenjara seumur hidup serta sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam Yasin, Ariff Azami Hussein berkata keadaan kesihatan terkini anak guamnya itu akan dimasukkan ke dalam dokumen representasi keempat yang akan difailkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, dia berkata kandungan lanjut representasi itu tidak boleh didedahkan tetapi ia bertujuan memohon pihak pendakwaan mengkaji semula dan mempertimbangkan terma munasabah bagi kepentingan Yasin serta awam.

“Kita (pembelaan) tidak meminta sesuatu yang luar biasa tapi yang ada asas dan boleh dibenarkan undang-undang.

“Kita tetap yakin walaupun ditolak kali ketiga, kita akan masukkan lagi yang keempat mungkin dengan sedikit perubahan terma.

“Kita tetap optimis kes ini boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan kerana Yasin adalah kategori tertuduh unik kerana seorang pesakit dan boleh diberikan peluang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS