Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kamal minta semua orang jangan gaduh-gaduh
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 1:56 PM
Dikemaskini: 5:56 AM

Pelakon Kamal Adli meminta orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang pertikaian susulan insiden dia diserang seorang lelaki tidak dikenali sewaktu di Singapura pada 12 Mac lalu.

Katanya, dia hanya diserang oleh seorang daripada warganegara Singapura bukan seluruh rakyat di republik itu.

“Yang ketuk (serang) saya seorang saja, bukan satu Singapura. Jadi, jangan gaduh-gaduh,” katanya di Instagram hari ini.

Pemilik nama penuh Ahmad Kamal Mohammad Adli itu juga berpesan secara umum agar orang ramai sentiasa menjaga keselamatan masing-masing bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Kamal harap semua orang tolong jaga keselamatan kerana kita tak tahu sapa suka atau benci kita.

“Doakan untuk isteri saya yang masih trauma pasal isu ini… Saya sayang isteri saya,” katanya.

Terdahulu, isteri Kamal, Uqasha Senrose, 30, memaklumkan suaminya diserang hingga berlumuran darah.

Susulan itu, Uqasha memaklumkan Kamal terpaksa ditidurkan bagi menjalani pembedahan kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Kejadian itu berlaku sewaktu sesi bergambar dan ramah mesra pasangan terbabit pada acara Hari Raya Mega Sale 2023 yang berlangsung di Singapore Expo, kira-kira jam 9 malam.

Insiden membabitkan Kamal itu turut mencetus polemik dalam kalangan pengguna alam maya membabitkan negara ini dan Singapura selepas ia dimuat naik di media sosial.

Mahkamah Singapura hari ini menetapkan lelaki yang didakwa menyerang Kamal direman selama dua minggu di Institut Kesihatan Mental bagi menjalani penilaian psikiatri.

Sebutan semula kes itu akan dibuat pada 28 Mac ini.

Sementara itu, Kamal Adli memaklumkan kesihatannya kini beransur baik cuma tubuhnya yang masih perlu bergantung dengan ubat-ubatan manakala badannya masih lebam-lebam.

“Saya dijaga isteri saya. Terima kasih atas doa kalian terutama peniaga di gerai, orang Malaysia dan Singapura yang turut membantu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS