Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hafidz Roshdi beri tempoh 48 jam untuk isteri mohon maaf
Diterbitkan:  Mar 11, 2023 6:20 PM
Dikemaskini: 10:28 AM

Pelakon Hafidz Roshdi menuntut isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam kerana didakwa memfitnah sekali gus membuka aib keluarga mentuanya.

Hafidz membuat kenyataan itu selepas sekian lama mendiamkan diri sejak tercetusnya kontroversi yang menghimpit rumah tangganya.

“Saya tahu segala apa yang awak canangkan, tidaklah semuanya benar maka saya terpaksa menulis di sini.

“Demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan diri dan seluruh keluarga, saya dengan rendah diri memohon dan memberikan tempoh 48 jam dari sekarang bagi Shu dan mana-mana pihak untuk menarik balik sebarang penerbitan umum dan gambar keluarga saya berkaitan dengan isu atau rumahtangga saya ini.

“Saya juga mahu agar permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh pihak awak,” katanya di Instagram hari ini.

Hafidz, 28, turut berkata sebagai suami, dia berusaha menutup aib isterinya selama ini.

“Shu, saya jaga erat segala aib, kelemahan dan kekurangan awak sebagai isteri selama ini.

“Kita tidak sempurna. Saya hadap segala caci dan maki atas kelemahan dan kesilapan diri saya sendiri.

“Sebagai insan yang lemah, kita berdua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Agak malang, ianya menjadi diluar kawalan,” katanya.

Menurutnya, dia ingin meneruskan kehidupan selain percaya masih ada ruang untuk berdamai dengan isterinya itu.

“Apapun saya percaya ruang berdamai masih terbuka. Saya masih lagi abah kepada anak-anak saya. Kesejahteraan dan keselamatan mereka adalah objektif utama hidup saya.

“Saya juga ingin terus mencari nafkah yang halal untuk tidak mengabaikan tanggungjawab saya terhadap mereka,” katanya lagi.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumahtangga pada 2016 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Humairah dan Umar.

Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan dia akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu Isnin ini, berhubung dakwaan menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sungai Buloh, Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS