Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pengarah dan penulis skrip filem kontroversi, Mentega Terbang, Mohd Khairi Anwar Jailani berkata tiada sebab untuk dia berasa bimbang mengenai keselamatan dirinya walaupun naskhah terbabit mengundang kemarahan sesetengah pihak.

Kata Khairi, sebagai sutradara, tanggungjawabnya bukan setakat berkarya tetapi untuk mengetengahkan isu semasa yang jarang diketengahkan kepada khalayak.

“Saya tak takut sebab apa yang saya buat (Mentega Terbang).

“Sebagai pembikin filem, saya sedar tugas dan keberadaan itu. Jadi tak perlu untuk saya takut ke mana-mana,” katanya.

Bagi Khairi, pembikin filem wajar diberi kebebasan untuk berkarya.

“Kebebasan bersuara untuk penggiat seni tak patut dikongkong oleh mana-mana pihak,” tegasnya.

Khairi mengulas demikian ketika ditanya mengenai kemarahan segelintir pihak terhadap produksi Mentega Terbang selepas filem itu ditayangkan di platform penstriman, Viu pada 19 Jan lalu.

Baru-baru ini, penyanyi dan pelakon Awie memberi bayangan dirinya mahu menampar barisan pelakon Mentega Terbang melalui satu hantaran di Facebook (FB).

Kenyataan itu ditujukan Awie kepada beberapa pelakon Melayu dalam filem berkenaan yang dilabelnya sebagai "sial dan bangsat".

Beberapa jam kemudian, Awie meluahkan ketidakpuasan hatinya ekoran hantaran itu tiba-tiba ghaib di Facebook, dipercayai selepas disekat laman sosial itu.

Untuk rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu menghentikan tayangan filem kontroversi itu pada 27 Februari lalu.

Mentega Terbang mengundang perhatian ramai kerana didakwa menimbulkan sensitiviti agama dan menghina Islam selepas sedutan babak dalam filem itu tular di media sosial.

Antaranya adegan watak utama, Aishah meminta untuk makan pau daging babi dan babak bapanya memberikan kebebasan kepada remaja itu untuk memilih agama yang dipercayainya selain Islam.

Filem terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment itu menampilkan pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee.

Hari ini, Malaysiakini melaporkan, Khairi bersama peguamnya, Zaid Malek hadir memberi keterangan selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung dakwaan Mentega Terbang menghina Islam dan kandungan berbaur hasutan.

Turut hadir ialah pelakon Arjun Thanaraju bersama peguamnya, Mahajoth Singh.

Susulan itu, Khairi berkata, satu petisyen dalam talian bagi menghentikan serangan ke atas Mentega Terbang dan memastikan keselamatan pembikin filem serta pelakon naskhah berkenaan dilancarkan bermula jam 4 petang semalam.

Petisyen itu ditujukan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution dan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Sementara itu, Arjun berkata, pembikin filem harus diberi peluang untuk memaparkan karya-karya yang menyentuh isu realiti.

“Tugas pengkarya adalah untuk menggambarkan isu semasa dalam kalangan warga Malaysia. Jadi, untuk tak mengiktiraf perkara realiti adalah ibarat menutup sebelah mata,” katanya ringkas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS