Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengarah Mentega Terbang 2 jam menghadap Bukit Aman hari ini

Pengarah Mohd Khairi Anwar Jailani memberi keterangan berhubung filem kontroversi  Mentega Terbang arahannya yang didakwa boleh memesong akidah umat Islam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Khairi yang hadir bersama peguamnya, Zaid Malek dilihat keluar pada jam 12.15 tengah hari selepas lebih dua jam diambil keterangan oleh polis.

“Hari ini kami beri kenyataan dan kerjasama yang baik kepada pihak polis,” katanya.

Turut hadir, salah seorang pelakon Mentega Terbang iaitu, Arjun Thanaraju bersama peguamnya, Mahajoth Singh.

Kes disiasat bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) akta yang sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia AKMM  1998.

Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu merupakan kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.

Seksyen 233 AKMM 1998 pula berkait penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, hasil penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap kandungan filem Mentega Terbang mendapati, terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.

Katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), juga diminta memanggil pihak yang terbabit dengan penerbitan filem itu untuk urusan selanjutnya. 

Pada 28 Feb lalu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur menggesa siasatan dilakukan terhadap filem tersebut sekiranya terdapat unsur-unsur bertentangan agama.

Filem itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang menggalakkan anaknya menukar agama jika mahu. Terdapat juga babak remaja Islam ingin makan pau babi serta menyentuh anjing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS