Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelakon Uqasha Senrose mendedahkan pernah mengalami kesakitan yang teramat serta mengalami pendarahan tanpa henti akibat dua kali keguguran sebelum ini.

Uqasha berkata, kali pertama dia keguguran kandungan ketika mengerjakan umrah pada awal tahun lalu.

“Semasa mengerjakan umrah, saya datang haid namun dapati keluar darah yang terlalu banyak.

“Apabila pulang ke Malaysia, sekali lagi saya datang bulan tapi kali ini pendarahan menjadi lebih teruk. Ketika itu saya belum tahu telah hamil atau alami keguguran,” katanya.

Uqasha berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Isteri kepada pelakon Kamal Adli itu berkata, dia terpaksa menghabiskan waktu di hospital sewaktu rakyat Malaysia turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu akibat keguguran sekali lagi.

“Kali kedua saya datang haid yang banyak sampai sakit-sakit pinggang.

“Dua kali hamil dan gugur tapi saya tak tahu malah buat pelbagai aktiviti lasak seperti bermain jet ski.

“Cuma kali kedua ni saya sempat hamil selama dua bulan. Lepas doktor minta lakukan ujian kehamilan barulah saya tahu alami keguguran,” jelasnya.

Namun, pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu enggan mengeluh dengan nasib yang menimpanya.

Kata Uqasha, 30, mungkin belum rezeki untuk dia dan Kamal menimang cahaya mata.

“Siapa yang tak nak anak,” katanya.

Menurut Uqasha, dia memang sudah bersedia untuk hamil lagi cuma perlu merancang dengan lebih teliti ekoran masih terikat dengan jadual penggambaran.

“Bukan tak nak mengandung dalam masa terdekat, cuma sekarang saya masih terikat dengan jadual kerja sampai Ogos,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS