Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zulkifli teringin temui penerbit, pengarah Mentega Terbang
Diterbitkan:  Mar 7, 2023 11:52 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Bekas menteri agama Zulkifli Mohamad berkata hatinya memang menyimpan hasrat untuk bertemu dengan pihak yang terlibat dalam pembikinan filem Mentega Terbang.

Katanya jika ada kesempatan dia mahu berbincang dengan pengarah, penerbit dan pelakon Mentega Terbang bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu berkaitan.

Islam kata Zulkifli tidak menghalang umatnya berkarya dengan daya kreativiti masing-masing tetapi ia mestilah dalam lingkungan yang dibenarkan syariah.

"Saya yakin kepada kemampuan mereka dalam dunia perfileman dan drama mempunyai potensi yang amat baik apabila digilap dengan sebaik mungkin," katanya semasa mengulas isu kontroversi Mentega Terbang yang menjadi perhatian ramai akhir-akhir ini.

Filem terbitan 2021 itu mencetuskan bantahan sesetengah pihak kerana dianggap cuba menggugat akidah orang Islam selain mempromosikan fahaman yang bercanggah dengan agama berkenaan.

Misalnya idea kelahiran semula selepas mati dan pluralisme.

Walaupun mula ditayangkan pada 2021, Mentega Terbang hanya menjadi perhatian ramai dan mencetuskan kontroversi pada tahun ini.

Zulkifli berkata bagi menangani isu penerbitan filem pada masa depan kerajaan wajib memperkukuh peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai langkah memastikan sesuatu bahan siaran tidak menyanggahi agama.

Malah katanya mungkin pada masa depan ada akta yang boleh digubal agar pandangan Jakim diambil kira dalam menghasilkan sesebuah filem atau drama.

Kata Zulkifli dia juga berpendapat peranan Lembaga Penapis Filem (LPF) perlu diperluaskan ke karya yang dimuat naik ke platform penstriman dan dalam talian.

Zulkifli yang pernah berkhidmat sebagai mufti Wilayah Persekutuan sebelum dilantik menjadi menteri menambah, Jakim juga wajar mengemukakan pandangan yang disandarkan kepada hujah yang kuat.

"Jakim ada kuasa dan pengaruh di samping jumlah pakar yang ramai sama ada dalam kalangan panel mahupun pegawainya.

"Masyarakat Malaysia semakin berkembang pemikirannya dan kita berada pada zaman dunia tanpa sempadan.

"Saya yakin ia adalah perkara yang menjadi perhatian Jakim untuk penambahbaikan di masa akan datang," katanya.

Selain itu Zulkifli berkata pihaknya sedia membantu sebagai pakar runding dalam hal-hal berkaitan kefatwaan dan hukum-hakam agama.

"Mengkritik sesebuah filem bukanlah berdasarkan emosi tetapi perlu kepada ilmu dan kefahaman agar ia benar-benar menepati maksud al-tawasi bi al-haqqi (berpesan-pesan kepada kebenaran) dan al-tawasi bi al-sabr (berpesan-pesan kepada kesabaran)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS