Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Finas arahkan siasatan penuh terhadap penerbitan Mentega Terbang
Diterbitkan:  Mar 6, 2023 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah mengarahkan satu siasatan penuh terhadap penerbitan filem Mentega Terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Md Nasir Ibrahim berkata, agensi itu memandang serius isu menghimpit filem berkenaan yang didakwa menghina agama Islam selain berbaur hasutan secara terbuka.

“Finas tidak akan berkompromi jika terdapat sebarang pelanggaran dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya. 

“Proses siasatan yang sedang dijalankan adalah selari dengan Akta Finas terutama kepada perkara yang melibatkan peraturan pengeluaran dan pemameran filem,” katanya.

Md Nasir Ibrahim

Antara babak mencetuskan kontroversi adalah apabila watak utama, Aisyah mahu memakan daging babi berserta babak bapa remaja itu membenarkannya meninggalkan Islam dan memeluk agama lain.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi Pada 28 Februari lalu, mendesak polis merujuk filem berkenaan ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) kerana mendakwa ia boleh memesong dan mencabar akidah umat Islam. 

Susulan itu, Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jakim mendapati Mentega Terbang bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia. 

Lembaga Penapisan Filem (LPF) berkata, tayangan atau penstriman filem mendapat arahan Khairi Anwar itu adalah di luar bidang kuasa badan berkenaan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti semua aspek berkaitan filem Mentega Terbang secara menyeluruh sebelum mengambil tindakan selanjutnya. 

Md Nasir berkata, bagaimanapun, siasatan tersebut tidak menjurus kepada kandungan filem kerana mana-mana filem yang tidak disiarkan di panggung wayang tidak tertakluk bawah bidang kuasa Finas.

Dia turut menasihatkan agar semua penggiat industri lebih berhati-hati sebelum menghasilkan sesuatu karya kreatif.

“Patuhi segala garis panduan dan undang-undang yang berkuat kuasa di samping cakna kepada sensitiviti rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa dan budaya,” katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS