Produksi filem Mentega Terbang melayangkan surat tuntutan undang-undang terhadap penulis skrip Zabidi Mohamed susulan dakwaannya bahawa penerbitan karya itu memiliki agenda untuk memurtadkan umat Islam di negara ini.
Menerusi surat tuntutan undang-undang yang dilihat Malaysiakini, produksi Mentega Terbang berkata kenyataan Zabidi "langsung tidak benar, berniat jahat dan merupakan fitnah."
Peguam Zaid Malek dari firma Daim & Gamany menghantar notis itu bagi pihak pengarah Mohd Khairi Anwar, penerbit Tan Men Kheng dan individu lain terlibat produksi filem itu Arjun Thanaraju, Vishnuvarman Ragunathan dan Ti-Teng Hui.
"Selanjutnya, tuduhan yang dinyatakan oleh anda adalah bertujuan untuk menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti anak guam-anak guam kami untuk mendatangkan kitukan dan ancaman terhadap mereka," kata notis tuntutan bertarikh hari ini (3 Mac).
Zabidi diberi masa 48 jam untuk memberikan maklum balas dan jika gagal berbuat demikian pihak peguam produksi filem Mentega Terbang akan memulakan prosiding undang-undang terhadapnya.
Zabidi juga diminta memadam semua kenyataan berbentuk dakwaan selain memohon maaf atas kenyataan fitnah dikongsi di laman Facebooknya serta perlu membuat aku janji tidak akan mengulangi lagi perbuatan sebegitu.
"Memandangkan tuduhan dan fitnah yang dibuat oleh anda adalah suatu perkara yang serius yang telah mengakibatkan ia disebarkan secara meluas di media sosial, blog dan media massa dan juga pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap anak guam-anak guam kamiserta menjadi sebab filem Mentega Terbang dialih keluar dari platform penstriman Viu.
"Oleh itu kami diarahkan untuk anda membayar ganti rugi yangsewajarnya kepada anak guam-anak guam kami atas kerosakan nama baik dan reputasi mereka.
‘Zabidi akan lawan’
"Anda juga harus membayar segala kos-kos yang terlibat dalam urusan perkara ini," kata Zaid melalui notis undang-undang itu lagi.
Pengarah Mohd Khairi Anwar Jailani pula berkata kenyataan Zabidi itu, masing-masing pada tarikh 25 Feb, 2 dan 3 Mac lalu telah tular sejak beberapa hari lalu.
“Kami dengan tegas menafikan sebarang dan semua bentuk dakwaan bahawa filem Mentega Terbang sama sekali berusaha untuk menghujat, mengkufur dan berhasrat untuk mewujudkan budaya murtad dalam kalangan orang Islam seperti yang didakwa oleh Zabidi,” katanya pada satu kenyataan berasingan hari ini.
Dalam maklum balas segera, Zabidi mempertahankan kenyataannya sebelum ini berkata demi menjaga akidah umat Islam dia akan "lawan."
"Jika ada peguam-peguam muslim yang ingin bersama-sama saya dalam menjaga kesucian agama Islam boleh PM (private message) saya," katanya pada hantaran di Facebook.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata Mentega Terbang melanggar akidah dan cara kehidupan umat Islam di negara ini.
Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan Jakim telah diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan undang-undang dapat diambil.
Polis juga mengesahkan Siasatan isu filem Mentega Terbang kini dikendalikan SKMM.
Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Penapisan Filem (LPF) sedang meneliti semua aspek berkaitan filem ‘Mentega Terbang’ secara menyeluruh sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan LPF mengambil maklum akan isu yang berbangkit berhubung filem berkenaan yang telah mendapat perhatian masyarakat umum setelah ulasan awam bagi filem itu tular di media sosial.
Menurut KDN berdasarkan semakan, filem berkenaan tiada dalam rekod penapisan LPF dan ditayangkan secara dalam talian (melalui platform Internet).