Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Filem Imam kisah tentang kita sendiri, kata Mior Hashim

Menggunakan latar tahun 1983, filem Imam digarap Mior Hashim Manap adalah sebuah kisah mengenai "kita" dan ia memang dekat di hati orang Melayu.

Mengakui dia hanya mahu "bercerita" sutradara terbabit berkata negara ini pernah diwarnai konflik sehingga ke tahap kafir-mengkafirkan sesama Muslim.

Semasa menterjemah novel Sasterawan Negara Allahyarham Abdullah Hussain itu ke layar perak, Mior Hashim berkata, suatu ketika dulu orang Melayu selalu gemar mencari masalah sesama sendiri.

“Saya cuma ingin bercerita, tak lebih daripada itu. Apa saya nak ceritakan adalah kisah kita. Kisah dulu yang berlaku di Malaysia. Ia kisah kita dan bukan kisah orang lain.

“Pendek kata, kita sentiasa ada masalah dengan orang agama, orang politik dan masyarakat. Pada zaman itulah kita gemar mencemuh satu sama lain. Kita - adalah orang Melayu," katanya selepas majlis pratonton Imam di Istana Budaya kelmarin.

Ketika itu tambah Mior Hashim berlaku khatib yang berkhutbah tanpa mengikut teks, selain kejadian penemuan emas di tempat tertentu seperti dipaparkan dalam filem tersebut.

Katanya kejadian tersebut memang berlaku dan tidak direka-reka.

Mior Hashim Manap

Justeru, menurut Mior Hashim sekiranya karya yang dipersembahkan itu membuatkan ada penonton berasa tidak selesa, dia tidak ada kuasa untuk menghalangnya.

“Kalau anda berasa canggung dengan apa berlaku, saya tak tahulah. Saya cuma sampaikan. Kalau anda berasa kita buruk… buruklah diri kita. Jika berasa kita menarik… maka menariklah kita,” katanya.

Imam sebuah filem yang bercorak keagamaan berkisahkan perjuangan seorang imam bernama Haji Mihad - watak dilakonkan M Nasir - yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya.

Namun, usaha Haji Mihad mendapat tentangan daripada Haji Syamsuri (Faizal Hussein) dan sebahagian penduduk kampung termasuk saudara-maranya sendiri.

Tabah yang luar biasa

Selain itu, Haji Mihad juga didakwa membawa ajaran baru yang agak asing bagi kampung itu hingga mendapat perhatian pihak berkuasa agama setempat.

Novel berkenaan dipilih sebagai pemenang pertama Hadiah Sastera Utusan-Public Bank pada 1994.

Filem Imam - kini ditayangkan di pawagam tempatan - turut dijayakan pelakon seperti Jalaluddin Hassan, Natasha Charmain, Rahim Razali, Rahim Jailani dan Sophia Ibrahim.

Kata Mior Hashim, skrip filem itu sebenarnya disiapkan sejak 2013 namun disebabkan berdepan kekangan dana, sukar untuk dia memulakan penggambaran.

Mengulas mengapa hatinya tertarik untuk mengadaptasi novel Abdullah yang dianggap bukan bersifat komersial, Mior Hashim berkata, wang bukan keutamaannya dalam membikin filem sedemikian.

“Yang saya mahu sampaikan ialah mesej 'berhati-hatilah, Dajjal dah datang, sembahyanglah weh…” katanya.

Sementara itu anak Abdullah, Ahmad Patria, berkata keluarganya berterima kasih atas usaha keras Mior Hashim mengadaptasi Imam sehingga menjadi sebuah filem.

Katanya, sebelum ini memang banyak pihak meluahkan hasrat untuk mengadaptasi novel berkenaan namun tidak berjaya.

“Tapi Izzaidah Khairan (penerbit yang juga isteri Mior Hashim) berjaya menunjukkan ketabahan luar biasa dengan menghubungi ibu dan adik saya.

"Apa motivasi cetuskan ketabahan luar biasa itu? Sebagai abang, saya nak berunding dengan adik sendiri pun bukan senang,” katanya.

Ahmad Patria juga yakin arwah bapanya pasti bersetuju dengan pemilihan M Nasir dan Faizal untuk masing-masing membawa watak protagonis dan antagonis dalam naskhah berkenaan.

Katanya, lakonan M Nasir cukup berkesan dan yakin mampu menimbulkan empati pada sesiapa yang menonton.

“Saya sedih ayah saya tiada di sini apabila karyanya diterjemah dengan baik. Watak Faizal pula sangat brutal. Ini konflik antara dua orang yang handal.

“Kalau Mior Hashim panjangkan lagi babak Haji Mihad dan Haji Syamsuri bergaduh selama setengah jam lagi pun tak apa, sebab tak jemu menonton Imam,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS