Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Seniman kesal dituduh tak ambil berat kebajikan artis
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kesal terhadap kenyataan pelakon Fizz Fairuz yang menuduh mereka tidak menjalankan tanggungjawab membela nasib anak seni susulan insiden menimpa pelakon Fasha Sandha semalam.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, berkata tuduhan itu mencalarkan kredibiliti persatuan terbabit kerana ia dibuat tanpa usul periksa.

“Seniman juga agak kesal dengan kenyataan dikeluarkan Fizz yang boleh dianggap sebagai serkap jarang. Ia dibuat tanpa usul periksa dengan pihak Seniman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama Hafiz berkata Seniman berterima kasih kepada Fizz - atau nama asalnya Mohd Fairuz Zainal Abidin - kerana membangkitkan isu terbabit hingga tular.

Menurutnya, isu itu secara tidak langsung membuka peluang untuk Seniman memberi pencerahan mengenai kerjasama mereka bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dijalinkan sejak 2020.

“Fizz memberikan gambaran kononnya Seniman selama ini tidak berbuat apa-apa untuk ahli.

"Seniman ingin memaklumkan bahawa selama ini banyak inisiatif dan dasar yang Seniman lakukan untuk ahli kami, malangnya mungkin Fizz sendiri tak mengambil tahu apa yang kami lakukan,” katanya.

Kerjasama dengan Perkeso

Terdahulu, Fizz berkata seseorang pelakon tidak perlu beria-ia berlakon dengan membuat aksi keterlaluan.

Untuk menjadi pelakon juga, katanya, memerlukan seseorang itu wajib untuk mempunyai ilmu asas.

Menurutnya, jika semua orang ingin menunjuk hebat, tindakan berkenaan boleh membawa padah dan itulah nasib yang perlu dihadapi anak seni sekiranya mereka tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan Perkeso.

Dakwa Fizz seniman juga tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai pembela anak seni kerana semuanya perlu ditanggung artis sendiri.

“Kalau mampu, tak mampu, mereput dalam rumah, faham, faham sajalah,” katanya.

Selepas kejadian itu pembantu Fasha berkongsi perkembangan terkini pelakon terbabit di Instagram.

Katanya, Fasha mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika menjalani penggambaran.

Aktres Patah Sayap Bertongkat Paruh itu kini menerima rawatan di sebuah hospital di Johor Bahru selepas mata dan kepalanya terhentak pada bucu tajam.

Insiden itu turut mengakibatkan tulang soket mata kiri Fasha patah manakala bebola mata kirinya berdarah dan bengkak.

Dalam kenyataan tersebut Fasha dikatakan enggan menyalahkan mana-mana pihak atas insiden yang berlaku selain produksi terbabit sudah memohon maaf atas apa yang berlaku.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata dalam kerjasama dengan Perkeso, Seniman dilantik menjadi agen tunggal untuk kategori seni budaya sejak rundingan antara kedua-dua pihak pada 2019.

“Sejak 2021 hingga hujung 2022 melalui data Seniman hanya 82 orang saja ahli Seniman yang berdaftar di bawah skim khas Perkeso ini.

“Malah untuk pengetahuan Fizz, sejak kerjasama ini diputuskan lebih 10 ahli Seniman telah mendapat bantuan dan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ini.

“Justeru, kami berharap selepas ini lebih ramai ahli Seniman mengambil tahu mengenai SKSPS dan mendaftar dalam skim ini di pejabat Seniman,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS