Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amin Ahmad pengerusi baru ITBM, Anwar mahu tahu apa rancangan
Diterbitkan:  Mar 2, 2023 6:27 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Bekas anggota parlimen Kangar Amin Ahmad dilantik sebagai pengerusi baru Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) berkuat kuasa semalam.

Katanya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mahu dia memimpin syarikat milik Kementerian Kewangan yang mengalami kerugian itu.

“YAB PM mahu saudara memimpin ITBM, begitu lebih kurang ringkas mesej yang saya terima. 

“Boleh kemukakan apa rancangan saudara untuk membawa ITBM ke depan? YAB PM mahu tahu,” dedahnya yang juga seorang penterjemah buku-buku falsafah politik.

Menulis di media sosial sebentar tadi, dia berkata tidak tahu sama ada mampu atau tidak menggalas tanggungjawab itu. 

“Saya membuat nota ringkas kepada YAB PM tentang apa yang difikir buat masa ini. Banyak lagi perlu saya lakukan untuk memahami dan berperanan. 

“Saya difahamkan beliau gembira dengan nota itu,” katanya.

Sementara itu, dia berkata, dalam pertemuannya dengan kepimpinan ITBM, dia tidak memberi jaminan besar. 

Bagaimanapun, katanya, dia akan menggunakan ruang itu untuk menterjemah “politik kebudayaan”.

Justeru, katanya, kewujudan ITBM sebagai syarikat perlu disemak semula kerana penilaiannya berorientasi keuntungan. 

“ITBM hampir ditutup 2018 kerana dinilai sebagai sebahagian sumber kerugian. 

“Kerja-kerja kebudayaan memang sukar menjana keuntungan,” katanya.

Katanya, ITBM mempunyai tanggungjawab moral melahirkan masyarakat yang membaca melalui kerja-kerjanya. 

“Penerbitan ITBM mesti mengambil kira obligasi sosial,” kata Amin.

Manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya tahun lalu tidak menyebut berkaitan penolakan lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan, walaupun berbuat demikian pada tahun 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS