Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengurus sahkan pelakon Saving Private Ryan tiada harapan hidup
Diterbitkan:  Mar 1, 2023 3:44 PM
Dikemaskini: 7:44 AM

Keluarga pelakon terkenal era 1990-an, Tom Sizemore akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan riwayatnya selepas mengesahkan dia tiada harapan lagi untuk pulih.

Berita itu dimaklumkan oleh pengurus Sizemore, Charles Lago dalam kenyataan semalam.

“Hari ini, doktor memberitahu keluarganya bahawa tiada harapan lagi dan mencadangkan keputusan untuk mengakhiri nyawanya,” katanya seperti dipetik CBC.

Sizemore terkenal dengan watak Sarjan Mike Horvath dalam filem Saving Private Ryan arahan Steven Spielberg. Filem yang turut dibintangi Tom Hanks itu meraih lima anuerah Oscar.

Sizemore dimasukkan ke hospital sejak 18 Februari lalu selepas ditemui jatuh pengsan di rumahnya. Dia sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat aneurisme otak.

Sizemore yang turut terkenal melalui filem Natural Born Killers, Heat dan Black Hawk Down mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah dan pelanggaran undang-undang.

Tom Sizemore dalam Saving Private Ryan

Pada 2003, dia disabitkan dengan kesalahan keganasan rumah tangga terhadap bekas tunangnya yang juga ‘mak ayam’ terkenal suatu ketika dulu, Heidi Fleiss.

Pada 2005, pelakon itu dijatuhi hukuman penjara beberapa bulan selepas ditangkap cuba memalsukan keputusan ujian air kencing, dan pada 2006 mengaku tidak bersalah mengambil methamphetamine di luar sebuah motel.

Dia dijatuhi hukuman penjara 16 bulan penjara setahun kemudian selepas ditangkap lagi ketika masih dalam tempoh percubaan (probation).

Dalam wawancara bersama Larry King pada 2010, Sizemore mengakui ketagih kokain, heroin dan methamphetamine. Pada tahun sama, dia menjadi antara peserta program realiti Celebrity Rehab with Dr Drew.

Dia pernah berkongsi mengenai ketagihannya dan berterima kasih kepada pelakon Robert de Niro kerana mendaftarkannya ke pusat pemulihan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS