Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penerbit Pulau tetap berpuas hati walaupun proses penapisan filem di Malaysia menetapkan sebanyak 10 pemotongan terhadap karya itu berbanding Brunei yang jumlahnya lebih banyak.

Kata Pengasas WebTVAsia Fred Chong, syarat ketetapan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) menunjukkan Malaysia bersikap lebih terbuka berhubung soal piawaian penapisan.

“Untuk rekod, di Brunei, apa yang kamu lihat di sini (10 pemotongan), (tambah) lagi tujuh. Jadi, saya masih gembira kerana Malaysia bagus, liberal dan progresif dalam soal penapisan filem,” katanya berseloroh.

Mengulas berhubung kualiti filem selepas pemotongan, Fred beranggapan apa yang dipersembahkan buat penonton adalah mengikut versi terbaik pihak penerbit dan pengarah.

Jelasnya, pihaknya akur dengan syarat dikenakan LPF bagi membolehkan tayangan filem itu diluluskan dengan klasifikasi P13.

“Sebelum menghantar Pulau untuk proses tapisan di LPF, kami buat pemotongan sendiri. Jika menyebut tentang kreativiti, sudah tentu seseorang pengarah itu memiliki versi penuh yang kita gelarkan director’s cut.

“Tapi pada realiti, kita harus menghormati budaya di sesebuah negara sebelum menayangkan filem.

“Jadi, kami beranggapan ini adalah versi terbaik yang dapat kami persembahkan untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton bersama media di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.

Baru-baru ini, filem terbitan My Way Pictures dengan kerjasama Film Force itu mengundang rasa kurang senang sejumlah pihak hingga ada yang mendesak supaya ia diharamkan tayangan.

Bantahan itu bermula selepas treler yang dimuat naik di media sosial didakwa memaparkan unsur soft porn selain pakaian pelakon yang mencolok mata.

Meskipun dihimpit kontroversi, Malaysiakini semalam melaporkan Fred menyasarkan filem terbitannya itu mencapai kutipan pecah panggung sekurang-kurang lebih RM7 juta.

Naskhah arahan Euho itu dijayakan barisan pelakon seperti Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Sabronzo, Sanjna Suri, Harris Annuar, Jazmy Juma, Mark O'Dea, Evie Feroza, Cedric Loo, Pui Yi dan Vikar. Ia dijadual menjengah pawagam 9 Mac ini.

Fred berkata, pada mulanya Pulau hanya berjaya mendapat sebanyak 70 pawagam saja melalui Skim Wajib Tayang.

“Namun, pihak pengedar berjaya meningkatkan bilangan itu hingga 127 pawagam. Tapi, tiga pawagam utama di Terengganu kemudian mengharamkan tayangan.

“Ia menjadikan jumlah itu berkurangan kepada 124 pawagam saja. Ini tetap angka yang bagus buat kami dan harap ia dapat bertambah,” katanya.

Sementara itu, Euho berkata Pulau adalah filem Bahasa Malaysia pertama arahannya.

“Untuk orang Cina seperti saya, tak ada beban untuk arahkan filem sebegini pun.

“Cuma, saya banyak mengambil nasihat daripada pihak penerbit bagi menyesuaikan dengan kreativiti sebab ini pertama kali saya arahkan filem bahasa Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS