Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit tetap harap Pulau mampu raih lebih RM7 juta

Walaupun terus dihimpit kontroversi, syarikat penerbit Pulau berharap filem itu mendapat kutipan pecah panggung sekurang-kurang lebih RM7 juta.

Pengasas Web TV Asia, Fred Chong berkata jumlah itu diharap dapat mengatasi kutipan filem terbitannya yang lain sebelum ini.

“Kami daripada produksi memang berharap dan semestinya sudahpun melakukan yang terbaik untuk Pulau.

“Justeru, saya memang berharap filem ini dapat memecahkan rekod peribadi filem terbitan saya iaitu Nasi Lemak 2.0,” katanya.

Menurut Fred, penerbit tetap positif dengan sambutan penonton walaupun sebelum ini pihak penaja membuat keputusan untuk menarik balik tajaan mereka.

“Filem belum tayang lagi, jadi belum ada kerugian. Yang rugi cuma apabila penaja menarik balik tajaan sebab bimbang dengan kontroversi di cetuskan Pulau.

“Bagi saya, biarlah filem itu yang berbicara (let the film do the talking),” katanya selepas majlis pratonton bersama pihak media di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, filem yang mendapat arahan Euho itu mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak selepas trailer dimuat naik di YouTube dilihat memaparkan adegan provokasi selain watak-wataknya tampil dengan pakaian mencolok mata.

Antara yang mempersoalkan bagaimana filem sedemikian lulus tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF) termasuklah pemimpin PAS yang mendakwa naskhah terbabit mempunyai unsur lucah dan soft porn.

Pulau berkisahkan percutian sekumpulan anak muda yang bertukar menjadi mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil.

Terjumpa sebuah perkampungan terbiar, mereka secara tidak sengaja mematahkan mantera lama yang diletakkan untuk menahan sumpahan dan semangat jahat yang terperangkap.

Bagaimanapun, penerbit ketika itu memberi respons bahawa trailer berkenaan cuma memaparkan satu peratus daripada kandungan filem sebenar.

Susulan kontroversi yang melanda, sebanyak tiga pawagam utama di Terengganu mengharamkan tayangan filem berkenaan.

Menurut Fred, pihaknya ketika ini masih berharap dan terus menunggu jawapan daripada kerajaan negeri itu selepas menghantar surat rayuan kira-kira seminggu lalu.

“Kami masih dalam proses rayuan, surat sudah dihantar tapi masih belum mendapat respons.

“Pihak penerbit masih menunggu dan berharap kami akan terima jawapan positif,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS