Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dain ajak penerbit filem, LPF berunding isu tapisan filem

Pengarah Dain Said tetap berpuas hati apabila Harum Malam berjaya mengutip lebih RM2 juta sepanjang hampir sebulan tayangan meskipun filem terbaru arahannya itu menerima reaksi kurang menyenangkan segelintir pihak.

Bertemu Dain baru-baru ini, Malaysiakini cuba menyelami luahan perasaan pengarah itu berhubung beberapa adegan Harum Malam yang terpaksa dikaburkan dan dialognya diredam (muted).

Meskipun akur dengan ketetapan Lembaga Penapis Filem (LPF), Pengarah Terbaik, Anugerah Skrin 2018 melalui filem Dukun itu beranggapan perlu ada perbincangan lebih lanjut berhubung syarat dan garis panduan penapisan yang dikenakan.

“Bagi saya, perkara ini perlu dibincangkan daripada pelbagai sudut selain memerlukan pandangan lebih luas daripada mereka yang arif.

“Perbincangan harus membabitkan pengkarya, penerbit, pengarah dan wakil agensi berkenaan serta pihak kementerian.

“Banyak pandangan harus diambil kira agar memperolehi keputusan terbaik. Perkara ini terlalu luas untuk dibincangkan dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.

Harum Malam berkisahkan pergelutan hidup Iqbal - watak dijayakan Idan Aedan - seorang remaja dan pelatih perubatan tradisional yang memiliki kebolehan melihat makhluk ghaib.

Keupayaan luar biasa itu mengakibatkan Iqbal sering diganggu makhluk dan ancaman daripada dunia alam ghaib sehingga sukar untuk remaja itu membezakan antara realiti dan tidak.

Selain Idan, naskhah berkenaan turut dibintangi Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Filem itu juga memperkenalkan bakat-bakat muda lain seperti Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Harum Malam yang diterbitkan oleh Apparat dengan kerjasama D’Ayu Pictures dan Skop Productions itu pernah ditayangkan di Festival Filem Fantastic yang berlangsung di Austin, Texas pada 22 hingga 29 September lalu. Festival itu mengeketengahkan karya-karya bergenre seram dan fantasi.

Pada Oktober pula, Harum Malam atau Blood Flower itu ditayangkan di tayangan perdana Eropah di Festival Filem Sitges Sepanyol, sebuah festival filem yang mengetengahkan filem-filem seram dan fantasi dari seluruh dunia.

Ditanya mengapa tidak dibiarkan saja adegan-adegan tersebut terus dipotong atau bersetuju dengan tahap klasifikasi penonton berumur 18 tahun ke atas (P18), Dain menjawab dia dan penerbit Nandita Solomon mahu seramai mungkin orang menonton filem berkenaan.

Jelasnya, dia juga boleh mengubah sudut merakam subjek agar tiada adegan dikaburkan atau mengubah dialog, namun berasakan tiada kewajaran untuk berbuat demikian.

“Kalau kami potong adegan atau dialog tertentu, dah tak jadi Harum Malam. Memang lari habis jalan ceritanya. Jadi, pihak penerbit juga bersetuju tiada babak penting dipotong. Lagi potong stim.

“Ya, memang saya boleh ubah cara rakam subjek, ini juga pasti membuat kos meningkat. Tapi saya tak rasa kebrutalan itu harus diubah. Tema filem itu sendiri sudah brutal.

“Isu sebenarnya bukan mengenai aurat atau mencarut, tapi cuba faham jalan ceritanya. Jangan terlalu sibuk bercakap soal itu hingga lupa untuk faham jalan cerita.

“Penerbit pada asal memohon untuk klasifikasi tontonan P18 tetapi kemudian bersetuju dengan tawaran LPF untuk P13. Kerana dengan P18, syarat sama tetap dikenakan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS