Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Michelle Yeoh wanita Asia pertama menang Anugerah SAG
Diterbitkan:  Feb 27, 2023 6:00 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Aktres kelahiran Malaysia - yang sedang mencipta nama di Hollywood - Michelle Yeoh dinobat Pelakon Wanita Terbaik pada Screen Actors Guild Awards (SAG) yang berlangsung di Los Angeles, AS hari ini.

Dalam ucapannya yang penuh emosi, aktres itu memberi penghormatan kepada wanita Asia selepas merangkul anugerah melalui persembahan cemerlangnya dalam Everything Everywhere All at Once.

“Saya fikir jika saya bercakap, hati saya akan meletup. Untuk mendapatkan trofi ini daripada anda yang faham erti sampai ke tahap ini.

“Anda semua tahu bagaimana perjalanan saya, ibarat menaiki roller coaster. Ada masa ia naik dan turun.

“Tapi paling penting, kita tak pernah berputus asa. Saya berterima kasih. Ini bukan hanya untuk saya, tapi setiap gadis kecil yang kelihatan seperti saya. Terima kasih kerana memberikan saya kerusi dan meja pada malam ini,” katanya.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu menewaskan nama besar seperti Cate Blanchett untuk filem Ta’r, Danielle Deadwyler (Till), Viola Davis (The Woman King) dan Ana de Armas (Blonde). Kemenangan itu sekali gus menjadikan Michelle pelakon wanita Asia pertama memenangi trofi SAG.

Sementara itu, pelakon gandingannya, Jamie Lee Curtis dan Ke Huy Quan turut membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik bagi wanita dan lelaki.

Filem Everything Everywhere All at Once itu berkisahkan mengenai Michelle yang membawa watak Evelyn Wang seorang pemilik kedai dobi yang juga imigran Cina-Amerika bergelut untuk menyelesaikan cukainya.

Bulan lalu, Michelle mencipta sensasi apabila wataknya itu melayakkan dia membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal atau Komedi pada Anugerah Golden Globe Ke-80.

Aktres itu turut menjadi pelakon wanita Asia pertama yang mendapat pengiktirafan penganjur, The Academy of Motion Pictures Arts and Sciences untuk dicalonkan dalam kategori utama Oscar.

Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 akan berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, AS pada 12 Mac ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS