Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Raysha Rizrose sah jadi isteri pelumba F3
Diterbitkan:  Feb 23, 2023 7:30 AM
Dikemaskini: 11:30 PM

Dengan sekali lafaz pelakon Raysha Rizrose sah bergelar isteri kepada pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri, pada jam 8.52 semalam.

Pasangan terbabit dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fairudz Saderi.

Majlis itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka, di Kuala Lumpur dan dihadiri kira-kira 200 orang.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Raysha, 26, tampil mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditata rias Syed Faizal Syed Noh.

Raysha atau nama asalnya Farza Naquraisha Mohd Fariz bersyukur segala perancangan diatur dapat berjalan lancar.

“Syukur segala-galanya yang dirancang selama ini dipermudahkan.

“Saya dengan rendah hati terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan orang ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.

“Semoga permulaan fasa baru membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami,” kata Dewi Remaja 2014/2015 itu.

Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan mereka sejak 10 tahun lalu.

Katanya mereka mula berkenalan pada 2013 menerusi akaun Twitter dan ketika itu dia masih di sekolah menengah.

“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi akhirnya kami banyak bertolak-ansur.

“Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.

Pelakon filem Seandainya Kau Ada itu turut berkongsi tarikh lamaran Nabil yang terpateri pada 16 Ogos 2022.

Kata Raysha detik itu masih berbekas di hati kerana lokasi lamaran berkenaan terjadi di tempat sama dia dilamar menjadi kekasih iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya kira-kira sedekad lalu.

Pelakon itu mengakui mereka belum merancang soal bulan madu dan soal anak.

“Memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini.

“Soal anak pula, baik saya dan suami tidak meletakkan ketetapan. Bagi kami perihal cahaya mata ini, insya-Allah ada rezeki ia akan datang tepat pada waktunya.

“Cuma selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” katanya.

Mengenai Nabil - atau nama penuhnya Muhammad Nabil Jan Al Jeffri- Raysha menyifatkan lelaki terbabit melengkapi segala-galanya.

“Selama ini, dia (suami) sentiasa menjadi inspirasi dalam hidup saya. Dia sentiasa mendorong saya menjadi lebih baik,” kata Raysha.

Sementara itu, Nabil menganggap Raysha sebagai wanita yang banyak menyuntik semangat ke atas dirinya.

“Dia (Raysha) sentiasa ada ketika saya memerlukannya. Di saat berada di tahap paling bawah dan sedih, dialah yang tak pernah berpaling daripada saya.

“Kebijaksanaannya juga menambat hati saya. Dia seorang yang memahami dan matang. Malah kualiti lain yang mencuri perhatian saya ialah dirinya memang pandai membawa diri, sentiasa santun dan menghormati orang.

“Tentunya, dia sangat comel dan itu yang buat saya jatuh hati dengannya. Dia juga jujur dan ikhlas dalam setiap apa dilakukan,” katanya.

Tambah Nabil Jeffri lagi, Raysha juga begitu memahami jadual dan tuntutan kerjanya yang kadang-kadang perlu berada di luar negara.

“Syukur, jodoh dan cinta kami mekar serta erat hingga ke saat ini. Moga hubungan ini kekal ke syurga,” katanya.

Terdahulu, pasangan itu melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Dis 2022 namun ia hanya didedahkan di media sosial pada 14 Feb lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS