Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Stesen TV usah asyik fikir rating hingga industri ketandusan bakat'

“Industri muzik semakin ketandusan bakat,” keluh penyanyi Alyah mengenai sikap stesen TV yang dilihat terlalu mementingkan rating hingga mengabaikan kualiti penghibur sebenar.

Menurut Alyah, stesen TV tidak wajar menjadikan hal itu sebagai kebiasaan kerana banyak lagi bakat baru yang wajar diberi peluang untuk ditonjolkan.

“Jangan jadikan ia suatu kebiasaan. Tolong jangan rosakkan industri lagi. Bukan insan sebegitu tak boleh ada dalam industri, tapi letakkan dia di tempat sepatutnya.

“Apabila saya hadir di universiti-universiti tempatan misalnya, saya lihat begitu ramai yang berbakat, mereka boleh menyanyi serta menghibur, cuma sayangnya kita tak nampak,” kata Alyah.

Penyanyi Sesal Separuh Nyawa itu turut berkata, dia kecewa kerana bukan mudah untuk seorang penghibur sepertinya mencipta nama apabila terpaksa bertungkus-lumus dari bawah untuk memperkenalkan bakat kepada umum.

“Sampai pernah kena marah semasa mula-mula jadi penyanyi.

“Tapi (sekarang) apabila kita lihat sesiapa saja senang-senang boleh jadi artis, saya hampa sebab peluang itu dengan mudah jatuh ke tangan individu macam ini,” katanya.

Tetap berlapang dada

Alyah, 42, ditemui pada majlis preview buffet ramadan di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kemunculan pempengaruh Ratu Farah Diva sebagai tetamu jemputan bagi memenuhi undangan sebuah saluran hiburan.

Persembahan itu menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak sehingga ada yang memetik nama juri tetap program Famili Duo, Mas Idayu, agar mengadili personaliti TikTok berkenaan.

Rata-rata mereka kecewa kerana saluran terbabit mengundang seseorang yang mempunyai tarikan tinggi tetapi tiada bakat sebagai penghibur sebenar.

Pun begitu, pada usianya kini, Alyah tetap berlapang dada dan mengajar dirinya bahawa ruang dan peluang untuk bakat baru menyinar bergantung pada nasib seseorang.

“Itu mungkin rezeki dia (Ratu Farah) yang sudah tertulis,” katanya.

Sementara itu, Alyah berkata dia bersetuju untuk menjadi 'wajah' Hotel Tenera sepanjang Ramadan nanti kerana lokasi itu menyediakan ruang untuk beribadah secara berjemaah selain juadah berbuka puasa.

Katanya, dia tidak pernah menerima tawaran seumpama itu sebelum ini.

“Apabila berbuka puasa, kita tak nak terlepas momen untuk bertarawih dan tunaikan solat fardhu pada masa sama.

“Kalau berbuka di tempat lain, kita belum tahu penyediaan ruang solatnya macam mana tetapi di sini ada ruang untuk solat berjemaah.

“Saya pula selalu berbuka puasa dengan mak. Biasalah orang tua, mereka akan tanya dulu sama ada disediakan ruang solat atau tak jika nak berbuka di luar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS