Nampaknya persembahan Baby Shima di Kuantan pada beberapa hari lalu memunculkan bahang tersendiri apabila tercetus pertikaian di antara penyanyi terbabit dengan beberapa ahli politik.
Dikaitkan dengan cara penampilannya semasa program tersebut serta di tempat-tempat lain, penyanyi terbabit kelihatan tidak berdiam diri sebaliknya memberikan reaksi kepada pengkritik di media sosial.
Kini dia tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan saluran perundangan apabila dituduh boleh menjadi punca kemurkaan Allah serta dilabel menjual agama.
Bercakap kepada Malaysiakini, Baby Shima menjelaskan, perkara itu kini dalam pemerhatian peguamnya memandangkan kehadiran dia di Sungai Isap, Kuantan pada 18 Feb lalu disalah erti pihak tertentu.
Dia hadir sempena program Hari Bandaraya Mesra Komuniti dan kebetulan pada hari yang sama sambutan Israk dan Mikraj.
“Peguam saya sedang meneliti isu tersebut untuk tindakan lanjut kerana hantaran dibuat di media sosial itu sudah dikira memfitnah saya.
“Posting berkenaan turut mengakibatkan saya dikecam teruk sebelum acara itu berlangsung. Ketika itu mereka anggap saya bakal hadir untuk bergelek dengan lagu dangdut.
“Tapi mereka mungkin terkejut akhirnya saya datang dengan imej sopan malah bertudung dan persembahkan empat lagu selawat ke atas nabi.
“Dah tak ada point kemudian tuduh saya menjual atau menunggang agama pula,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tengok sendiri, bukan andaian
Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu juga tidak menolak kemungkinan pihak yang menimbulkan kontroversi itu sebenarnya mempunyai motif politik tertentu ekoran majlis terbabit dianjurkan oleh kerajaan.
Katanya, dia hairan kerana kedatangannya di Kuantan dua kali sebelum itu langsung tidak mendapat sebarang bantahan.
“Saya pelik, kenapa sebelum itu persembahan dangdut di Serambi Teruntum untuk Pesta Flora dan Fauna dan Hari Radio Sedunia (RTM Kuantan) tak dapat bantahan langsung.
“Jadi kenapa persembahan yang dianjurkan kerajaan sekarang boleh timbul isu pula? Jangan guna saya untuk isu-isu politik,” tegasnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuantan (PAS), Wan Razali Wan Nor, mendakwa pihaknya menghantar surat bantahan rasmi kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) agar menghentikan pembabitan Baby Shima.
Katanya, penyanyi itu sering terpalit isu moral dalam persembahannya dan melanggar tatasusila serta adat ketimuran.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Abdul Rosli Jabar, pula berkata sebagai Adun Tanjung Lumpur dia tidak rela MBK membenarkan persembahan membabitkan Baby Shima yang dianggap tidak mengikut garis-garis panduan Islam.
Seorang pemimpin Pemuda PAS Pahang juga mendakwa penyanyi terbabit 'menjual agama' kerana hanya mengenakan tudung mengikut majlis tertentu.
EKoran kontroversi itu media sosial penyanyi Ikatan Asmara itu turut 'meriah' dengan pelbagai komen serta reaksi daripada pelbagai pihak.
Untuk rekod, pada program Hari Bandaraya Mesra Komuniti itu, Baby Shima, 30, mempersembahkan lagu seperti Selawat Nabi, Kangen Rasul, Ya Habibi Ya Rasulullah dan Hikmah.
Menurutnya lagi, majlis itu bukan satu-satunya slot persembahan lagu kerohanian yang pernah dipenuhi atas permintaan undangan.
Justeru dia berpesan agar pihak yang membencinya tidak membuat tuduhan tanpa usul periksa hingga boleh mengundang fitnah dan mendatangkan malu pada diri sendiri.
“Mereka mungkin ingat saya tak pernah nyanyi lagu nasyid.
"Saya pernah diundang bagi mengisi slot lagu-lagu nasyid sebelum ini. Program MBK itu pun bermula jam 10 pagi, takkanlah saya nak berdangdut.
“Jadi, pertama sekali, sebelum majlis berlangsung, jangan nak mengata buruk pasal orang. Tengok dengan mata kepala sendiri sebelum buat andaian,” katanya.