Penyanyi dan pelakon Ani Mayuni mengingatkan artis pelapis supaya tidak sering ‘mendongak ke langit’ kerana bakat yang dimiliki boleh ditarik sekelip mata.
Katanya, seseorang pelakon khususnya yang mempunyai populariti tinggi harus menjaga perangai dan adab serta mengelak daripada berlagak sombong.
“Apabila berada dalam industri, tak kiralah nama besar atau kecil, jangan sesekali sombong.
“Sebabnya bakat itu hanya pinjaman daripada Tuhan. Bila-bila masa Dia boleh tarik balik,” kongsi Ani mengenai pengalaman hampir 30 tahun dalam industri.
Pemilik nama sebenar Aishah An-Nur Osman itu berkata, seseorang pelakon harus tahu cara membawa diri terutama di set penggambaran.
“Kita nak puaskan hati semua orang memang mustahil… jadi yang penting kita kena tahu sesuaikan dan pandai bawa diri,” katanya.
Ani berkata demikian pada majlis Preview Buffet Ramadan di Hotel Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ani dan seorang lagi penyanyi iaitu Kelly Azman akan menghiburkan pengunjung sepanjang Ramadan di hotel berkenaan.
Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut diberikan kepada pengunjung yang hadir untuk berbuka puasa di situ.
Ani berkata demikian sebagai respons terhadap luahan pelakon Noorkhiriah baru-baru ini.
Melalui Insta Story, Noorkhiriah mendakwa seorang pelakon baru menyombong malah tidak bertegur sapa dengannya sewaktu mereka sama-sama menghadiri sebuah majlis hiburan.
Pada masa sama, Ani menyifatkan segelintir gen Z yang bersikap biadap berkemungkinan disebabkan pengaruh buruk dari Internet.
Katanya, segelintir generasi Z bersikap kurang adab kerana terlalu banyak menghabiskan masa dengan telefon bimbit.
“Perkara yang tak elok itulah ramai yang akan kongsi dan tularkan.
“Mungkin budak-budak ini rasa gurauan adalah sesuatu yang lawak tapi pada kita yang berusia hal itu adalah kurang ajar.
“Cuma mereka tak tahu bezakan sama ada lawak atau tidak, inilah bahaya gajet. Jadi kalau nak kongsi biarlah sesuatu yang bermanfaat dan berguna,” katanya.