Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Osman Ali sangkal jadi punca kontroversi babitkan Sophia, Aliff

Pengarah Osman Ali menyangkal sekiranya teguran terhadap Sophia Albarakbah dan Aliff Aziz agar mencari keserasian di set penggambaran menjadi pencetus kontroversi membabitkan mereka.

Osman menegaskan, dia tidak pernah menggalakkan perkara yang boleh mendatangkan mudarat, sebaliknya menginginkan kedua-dua pelakon gandingannya dalam Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu memberikan persembahan terbaik.

“Hari pertama masuk set, saya lihat kedua-dua pelakon agak kekok, jadi saya tegur agar mereka lakukan sesuatu untuk perbaiki tahap lakonan.

“Saya minta Sophia dan Aliff mencari keserasian dan mereka adakan perbincangan untuk menjayakan penggambaran tapi ini tidak bermaksud saya galakkan perkara yang tak baik.

“Saya yakin tak wujud cinta lokasi serta tiada kemesraan luar biasa di set hanya disebabkan kedua-duanya menjalani penggambaran bersama,” katanya.

Pengarah Hilang Akal itu berkata, kontroversi yang menghimpit Sophia dan Aliff juga meninggalkan kesan mendalam ke atas kedua-dua pelakon berkenaan.

Justeru, bagi mengelak situasi tegang membantutkan saki-baki penggambaran drama bersiri itu, Osman berkata dia tampil memberi nasihat serta motivasi terutama kepada Sophia yang masih baru dalam industri lakonan.

“Pada awal memang sukar untuk mereka kembali ke set, jadi saya beri mereka motivasi.

“Tak dapat saya nafikan kedua-duanya memang tertekan dengan kontroversi tercetus. Saya rasa kasihan dengan keadaan yang dialami mereka.

“Sophia pula memiliki perwatakan yang lemah lembut dan tak tahu cara melawan atau pertahankan diri ketika berdepan situasi begini,” katanya lagi ketika ditemui di majlis pratonton drama bersiri Viu Original, Nenek Bongkok Tiga di ibu kota kelmarin.

Terdahulu, penyanyi dan pelakon Bella Astillah mendakwa seorang pelakon wanita mengakui menyukai suaminya, Aliff selepas menjalani penggambaran bersama-sama. Namun, dakwaan itu dibuat tanpa mendedahkan siapa identiti wanita berkenaan.

Juga tanpa menamakan sesiapa, Aliff berkata ketika ini dia sememangnya fokus pada satu penggambaran bersama seorang heroin saja.

Kenyataan itu sekali gus merujuk kepada Sophia yang terjebak dalam masalah rumah tangganya.

Rentetan itu, Aliff berjanji untuk tidak lagi menerima tawaran berlakon sekiranya naskhah tersebut memerlukannya bergandingan dengan Sophia. Katanya, keputusan itu dibuat demi menghormati isteri.

Tambah Osman, Sophia dan Aliff menunjukkan perkembangan positif selepas menerima saranan yang diberikannya dan kedua-duanya bersikap profesional.

Bagaimanapun, pengarah itu menafikan sekiranya dia sengaja mencipta gimik untuk melariskan Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Katanya, dia tidak sanggup berbuat demikian apatah lagi jika ia boleh meruntuhkan rumah tangga orang.

“Sejujurnya saya tak akan buat gimik sampai macam ini sekali demi promosi. Itu kerja gila. Takkan saya nak musnahkan rumah tangga orang.

“Saya juga berbincang dengan pihak penerbit, TV3 bagaimana untuk selesaikan masalah ini. Saya cuma berharap disebabkan kontroversi, kadar tontonan drama ini tak terjejas.

“Sebab ada segelintir pengguna media sosial pernah menyuarakan, disebabkan kontroversi ini mereka tak mahu menonton drama arahan saya itu.

“Saya harap mereka tak terpengaruh. Mujur ada juga penonton yang mulai menggemari drama itu selepas menonton episod awal,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS