Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tiga tahun menyepi, Adlin muncul bertarung 'lawan' APMM
Diterbitkan:  Feb 9, 2023 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Lebih tiga tahun menyepikan diri, pelakon Adlin Aman Ramlie yang menanti peluang untuk beraksi dalam filem aksi mengubat kerinduan peminat melalui watak antagonis bernama Samat dalam Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

Kata Adlin, naskhah berkenaan menampilkan babak pergaduhan yang penonton tidak pernah tengok dia lakonkan sebelum ini.

“Watak Samat adalah ketua yang menjalankan misi dan memberi arahan kerana ketua nombor satu adalah Sabri Yunus.

“Saya juga tak merujuk sesiapa untuk melakonkan watak Samat, sebaliknya ia mengikut idea dan kreativiti sendiri.

“Saya hanya menonjolkan karakter Samat seorang yang dinamik dan ada pesona. Gaya saya berlakon memang konsisten dari dulu sampai kini,” katanya.

Adlin, 50, berkata dia juga menerima tawaran untuk berlakon dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang itu kerana tertarik dengan naskhah filem genre aksi unit beruniform itu.

“Saya rindu mahu kembali berlakon, jadi terima tawaran kerana memberi sokongan pada rakan dalam industri perfileman tempatan.

“Justeru, bila dapat tawaran buat filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini yang juga genre aksi beruniform, saya terus tertarik kerana ia genre berbeza dan tak pernah buat sebelum ini,” katanya.

Filem edaran Metrowealth International Group dan disokong Primeworks Studios, Media Prima Berhad itu mula menjengah pawagam seluruh negara termasuk ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam sejak 2 Februari lalu.

Selain Adlin, Coast Guard Malaysia: Ops Helang terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu turut menampilkan gandingan pelakon popular, Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Ada penceritaan menarik

Filem itu dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Hafiz Nafiah, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Ditanya babak paling mencabar, kata Adlin, dia perlu melakonkan aksi pergaduhan di pulau dengan watak utama, Leftenan Maritim Hafiz dalam filem itu.

“Saya juga menjalani latihan bertarung dengan bimbingan dari koreografer profesional seminggu sebelum penggambaran. Selain itu, ada juga sesi latihan di studio.

“Babak pergaduhan itu aksi yang berterusan dan sudah namanya filem aksi, ia membabitkan banyak percubaan untuk dapatkan shot menarik. Setakat tubuh lebam-lebam buat babak bertinju itu perkara biasa dalam filem aksi,” katanya.

Sementara itu, Adlin mengucapkan penghargaan kepada APMM kerana memberikan sokongan kepada industri perfileman tempatan dengan bekerjasama dalam pembikinan filem skala besar.

“Bagi saya penceritaan filem ini menarik dan satu kejayaan yang besar dalam industri perfileman kita kerana APMM hanya meletakkan posisi mereka di latar belakang filem ini saja.

“APMM juga memaparkan jalan cerita bagaimana anggota mereka tertipu dengan penjenayah, kena tembak, kapal kena tawan dan keadaan yang tidak boleh dikawal serta nampak penjahat lebih berkuasa daripada mereka.

“Filem ini juga ada attitude dan tidak klise dari filem genre aksi lain yang pernah diterbitkan sebelum ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS