Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kerajaan diseru tambah peruntukan industri seni - Jurey Rosli

Suntikan dana yang mencukupi kepada stesen penyiar dan agensi kerajaan boleh menjadi pemangkin pembangunan industri kandungan kreatif tempatan, kata Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Justeru, menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 24 Feb ini, Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberikan tambahan peruntukan kepada agensi kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama TV dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Ia bagi memastikan lebih banyak penghasilan kandungan kreatif dapat dihasilkan seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri. 

“Perkara ini amat penting memandangkan pada tahun 2022 industri kreatif terkesan apabila peruntukan perolehan rancangan di RTM dan dana kandungan digital di Finas telah dipotong hingga menjejaskan beratus buah syarikat penerbitan.

“Ia seterusnya melenyapkan peluang pekerjaan kepada beribu penggiat industri kreatif tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jurey, PTVM yakin dengan sokongan kerajaan dan perancangan yang komprehensif bawah kepimpinan Fahmi Fadzil selaku menteri di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), industri kandungan kreatif mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar. 

“Harapan kami bawah kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan lebih mengambil berat hal ehwal industri dengan lebih banyak melakukan libat urus antara kementerian, agensi dan persatuan industri bagi memastikan segala dasar kerajaan yang akan dilaksanakan mencapai objektif,” katanya.

Selain itu, PTVM berharap kerajaan dapat menyediakan dana untuk pembinaan studio outdoor untuk set-set penggambaran program TV tempatan seperti di Korea dan China. 

Jurey juga meminta agar isu berkaitan pemilikan harta intelek diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan kelangsungan industri.

Susulan itu, Jurey mencadangkan penubuhan Majlis Kreatif Negara yang berperanan sebagai one stop center bagi menghubungkan semua agensi bawah  KKD dengan pemain industri kreatif. 

“Sebelum ini tidak ada penyelarasan antara agensi di bawah KKD dengan industri yang menyebabkan agensi yang terlibat tidak memperolehi maklumat dan keperluan penerbit dengan tepat. 

“PTVM memberikan cadangan ini bagi memastikan perancangan dapat dibuat dengan baik berkenaan dasar dan hala tuju industri kandungan kreatif Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS