Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Seniman ingatkan pelakon tak main cinta lokasi

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menegur pelakon supaya mengelakkan diri daripada terjebak bermain cinta lokasi supaya tidak menimbulkan masalah kepada syarikat produksi.

Presidennya Zed Zaidi berkata, perbuatan tidak profesional itu bukan saja mencalarkan imej pekerja filem dan drama malah mendatangkan kecaman andai membabitkan hubungan terlarang dengan pelakon yang sudah berkahwin.

“Dari sudut pandang Seniman, diharap semua pelakon dapat bersikap profesional.

“Jangan jadikan method atau menghayati watak sebagai alasan kerana perkara yang tak diingini itu boleh berlaku andai pelakon sendiri terbawa-bawa perasaan.

“Set penggambaran bukan tempat untuk seseorang pelakon bermain cinta, sebaliknya tumpukan kepada niat untuk mencari rezeki.

“Jangan terjebak dengak cinta lokasi. Kita sebenarnya akan susahkan diri sendiri dan orang lain,” katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelakon Sophia AlBarakbah yang didakwa cubaan mengganggu rumah tangga pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah.

Zed berkata Seniman tiada kuasa untuk campur tangan terutama apabila ada kalangan penggiat seni meminta aktres itu digam stesen televisyen.

Menurutnya, andai isu berkenaan membawa kepada kes mahkamah barulah persatuan boleh ambil tindakan mengikut garis panduan yang sepatutnya.

“Tindakan hanya boleh diambil selepas mahkamah tentukan seseorang itu bersalah,” katanya ketika ditemui pada acara pembukaan Kami Sempoi International Agency di Kuala Lumpur hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, Aliff ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini mengesahkan pelakon yang didakwa isterinya menghubunginya berkali-kali adalah Sophia.

Aliff Aziz

Aliff juga berkata, atas menghormati permintaan isterinya, dia akur untuk tidak lagi berlakon dalam mana-mana produksi membabitkan Sophia.

Bagaimanapun, Sophia tidak hadir pada sidang media tersebut atas alasan tertentu pada saat akhir.

Diminta mengulas perkara itu, Zed berkata mana-mana selebriti dinasihatkan untuk tidak berumah di tepi pantai sekiranya takut dilambung ombak.

Katanya, apabila timbul isu membabitkan mana-mana rumah tangga, seseorang artis itu wajar berkomunikasi dengan baik untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Apabila isu babitkan sesebuah keluarga, selebriti yang terbabit kena tahu cara untuk memberi reaksi.

“Biasanya apabila seseorang artis itu kurang arif soal ini, mereka cenderung memberi reaksi menggunakan emosi,” katanya lagi.

Justeru, Zed merancang untuk mengadakan program mengasah kemahiran komunikasi dalam kalangan pelakon melalui kerjasama dengan Kementerian Kemahiran Komunikasi dan Digital.

“Seniman akan memohon kementerian untuk bersama-sama menggariskan panduan berhubung apa boleh dan tidak, supaya dijadikan rujukan semua artis tempatan.

“Ia supaya dapat melahirkan lebih ramai bakat baru yang bijak berkomunikasi dan berkebolehan berdepan sesuatu isu dengan bijak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS