Pelakon Fasha Sandha mengakui sedih apabila menjadi mangsa kecam badan (body shaming) segelintir pihak.
Katanya, disebabkan saiz tubuhnya yang berisi, dia sering disangkakan hamil.
“Orang mudah menyangka saya hamil apabila melihat perut saya macam bulat atau mungkin besar sikit.
“Masa itu sedih sangat sebab orang body shaming. Perut besar sikit saja orang terus anggap hamil.
“Mungkin badan saya dilihat besar antaranya disebabkan faktor genetik. Keturunan saya juga memang berbaka besar,” katanya.
Namun, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu berkata, dia tidak mahu berterusan kecewa.
Justeru, Fasha, 38, menjadikan kritikan umum terhadapnya itu sebagai satu pembakar semangat untuk dia cuba mengurangkan berat badan.
“Amalan saya adalah menjaga pemakanan dan lakukan senaman. Selain itu, biasakan diri elak makan lepas jam 7 malam.
“Syukur Alhamdulillah ketika lakukan umrah baru-baru ini juga, saya dapat menahan diri dari makan waktu malam,” katanya.
Fasha berkata demikian ketika ditemui pada sidang mempromosi drama terbaru lakonannya Serpihan Sayap di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Fasha, ketika ini juga dia sedang giat berusaha menurunkan berat badan untuk projek terbarunya iaitu Rampas Cintaku 2.
“Sekarang saya berjaya turunkan 8 kilogram dan masih berbaki 7 kilogram lagi untuk diusahakan.
“Untuk turun berat badan hati dan mental kena kuat,” katanya.
Pohon doa di tanah suci
Bagaimanapun, Fasha mengakui dia dan suami, Adil Aziz memang berharap untuk dikurniakan cahaya mata lelaki.
Kata Fasha perkara itu antara doanya yang dipohon sewaktu mengerjakan umrah di Tanah Suci, Mekah baru-baru ini.
“Suami dah suarakan hasrat untuk anak kedua sejak tahun lalu. Tapi saya pula sibuk jalani penggambaran drama.
“Insya-Allah kami akan berusaha lagi tahun ini untuk bayi lelaki,” katanya.
Fasha mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Aidil pada 28 Mac 2019. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Aisha Amaira.
Melalui perkahwinan pertama Fasha bersama bekas suami, dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram dan Putri Raysha Jemaima Rizal Ashram.