mk-logo
Seni & Hiburan
Cubaan selesai kemelut madu Miera Liyana, Rosland melalui sulh gagal

Kemelut rumah tangga di antara madu pelakon Miera Liyana iaitu Adibah Abdul Mutalib dengan suaminya, Rosland Othman, gagal menemui titik noktah.

Peguam syarie Adibah, Khairul Anwar Rahmat, berkata proses sulh dengan isteri pertama Rosland di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini tidak mencapai kata sepakat untuk membolehkan kedua-dua belah pihak berdamai.

“Cubaan mencari jalan tengah untuk berdamai melalui proses sulh hari ini gagal.

“Justeru, kami berharap Rosland bersedia dengan tuntutan yang akan dikemukakan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah.

Menurut Khairul Anwar, antara tuntutan Adibah ialah menyelesaikan tuntutan nafkah dia dan hak anak-anak yang tidak dilunaskan oleh Rosland selama lebih setahun.

“Roslan tak menjaga hati isteri pertamanya apabila tak memberikan nafkah, selain menyekat panggilan telefon dan aplikasi teks pesanan ringkasnya.

“Ini adalah satu penderaan mental yang berpanjangan, ditambah pula dia juga sudah lama tak pulang ke rumah Adibah.

“Perbuatan ini ibarat perkahwinan berusia lebih 20 tahun itu tak ada nilai. Orang lain juga berpoligami tapi jangan burukkan nama agama," katanya.

Beri hanya jika dituntut

Peguam itu juga mengingatkan kes yang dibawa ke mahkamah itu bukan sekadar melibatkan kemelut yang dihadapi Adibah, sebaliknya turut bersangkutan dengan wanita lain yang senasib.

Ekoran kegagalan proses sulh itu, mahkamah menetapkan perbicaraan dijalankan pada 2 Mac ini.

Rosland yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik itu gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkannya sendiri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 31 Jan lalu.

Rosland kemudian diperintah membayar kos RM500 kepada peguam dan isteri pertamanya.

Sementara itu, Adibah mendakwa Rosland tidak lagi melayannya seperti seorang isteri sejak lelaki terbabit berkahwin dengan Miera pada 2020.

Katanya Rosland hanya memberikan nafkah pada anak-anak mereka sekiranya dituntut.

"Dia melayan kami seperti sebuah perniagaan yang memerlukan resit, baru boleh tuntut,” katanya.

Rosland yang turut hadir hari ini bagaimanapun enggan ditemu bual Malaysiakini di pekarangan mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS