Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aeril ingatkan batasan sebab serik dituduh mengurat heroin

Serik dituduh pernah menaruh hati terhadap pelakon lain, Aeril Zafrel mengambil langkah berjaga-jaga jika bergandingan dengan mana-mana pelakon wanita dalam sesebuah naskhah.

Kata pelakon itu, dia tidak mahu namanya tercemar jika terjebak dalam isu curang yang boleh merosakkan karier serta meruntuhkan rumah tangganya bersama Wawa Zainal.

“Saya pernah dituduh nak try (pikat) heroin ketika berlakon bersama. Dia pula pelakon baru ketika tu.

"Jadi, selepas isu yang berlaku saya sendiri biasanya berterus-terang dengan pelakon gandingan agar selalu menjaga batasan antara kami, sebab saya tak mahu timbul salah faham lagi.

"Kita nak cari keserasian bukan dalam penggambaran saja, tapi mungkin ada yang terbawa-bawa hingga ke luar set.

“Saya tak mahu nama tercemar hingga rosak karier. Saya juga tak nak Wawa waswas pada saya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Suhairil Sunari itu berkata, banyak pihak turut bergantung harapan padanya, justeru sebarang isu kecurangan memang mahu dielakkan.

Akui Sophia baik hati

Katanya disebabkan dia menjalankan perniagaan akan ada banyak pihak terkena tempias negatif jika namanya tercemar.

“Saya juga seboleh-bolehnya mahu bersikap jujur dengan isteri. Dia boleh akses telefon bimbit dan Direct Message saya, dan saya juga sebaliknya,” katanya ketika diminta mengulas isu pelakon Sophia AlBarakbah didakwa cuba mengganggu rumah tangga pasangan selebriti Aliff Aziz dan Bella Astillah.

Aliff akur dengan keputusan Bella untuk tidak lagi bergandingan dengan Sophia dalam mana-mana karya selepas ini.

Pelakon itu ditemui pada sidang media mempromosi drama terbaru lakonannya, Serpihan Sayap, untuk slot Samarinda TV3 di sebuah restoran di Petaling Jaya kelmarin.

Drama terbitan Padi Pictures Sdn Bhd yang bakal mengisi slot Samarinda TV3 itu turut menampilkan pelakon seperti Fasha dan Elisha Sandha, Shahz Jaszle, Zarina Zainoordin.

Pada masa sama Aeriel, 34, tidak menolak kemungkinan wujudnya godaan dari luar untuk cuba mengganggu keharmonian rumah tangga akan tetap wujud.

Katanya, sebagai seorang ketua keluarga, dia perlu menangani situasi itu dengan baik.

“Tipulah kalau kata tak ada orang nak try. Lelaki juga ada keinginan tertentu tapi terpulang sama ada kita melayan atau tak. Tapi saya tak boleh buat perkara macam itu,” katanya.

Ketika banyak pihak mencemuh tindakan Sophia, Aariel sebaliknya mempunyai pendapat tersendiri mengenai aktres berkenaan.

Menurutnya, Sophia seorang yang baik hati cuma segelintir lelaki mungkin mudah jatuh hati kepada pelakon terbabit sekiranya salah menilai sikap serta layanan wanita itu.

“Dia seorang yang baik di set mahupun di luar penggambaran. Dia juga memiliki karakter manja serta mempunyai tutur kata lemah lembut (soft spoken).

“Jadi, kalau seorang lelaki tak pandai mengawal perasaannya, dia akan mudah jatuh cinta dengan aktres itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS