Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rashidi kahwini pengarah Kampung People
Diterbitkan:  Feb 2, 2023 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Pelakon Rashidi Ishak hari ini mengakhiri zaman dudanya sejak lima tahun lalu apabila bernikah dengan pengarah sebuah drama popular, Wan Hasliza Wan Zainuddin.

Berita itu dikongsikan anaknya, Maryam Rashika, melalui akaun Instagram.

Melalui hantaran itu Rashidi kelihatan tampil mengenakan baju Melayu berwarna putih.

“Ayah memakai kasut Nike di majlis perkahwinannya dan anak perempuan mengenakan Doktor Martens di majlis kahwin ayahnya,” tulisnya di Insta Stories hari ini.

Rashidi sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Vanidah Imran pada 1 Okt 2000.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran dan Maryam Rashika.

Rumah tangga yang dibina selama 17 tahun itu berakhir apabila mereka memutuskan untuk bercerai pada 9 Ogos 2018.

Sementara itu, jurusolek dikenali sebagai Mas Hashim menerusi laman Facebook miliknya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua mempelai.

“Tahniah Rashidi Ishak dan Wan Hasliza Wan Zainuddin. Semoga berkekalan hingga ke hujung nyawa,” katanya.

Mas mengiringi hantaran itu, dengan memuat naik foto Rashidi memakai baju Melayu putih manakala Wan Hasliza tampil dengan baju kebaya - yang juga berona putih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS