Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kurus mungkin tak dapat jadikan Almy isteri sempurna - Fizz Fairuz

Pelakon Fizz Fairuz berpendapat sekiranya Almy Nadia bertubuh kurus seperti model, wanita itu mungkin tidak dapat menjadi isteri yang sempurna di matanya.

Justeru, Fizz meminta isterinya itu menanam keyakinan dalam diri dan tidak terlampau memikirkan persepsi buruk dilemparkan orang lain terhadapnya.

“Kalau you (awak) kurus, saya mengandungkan you balik (tambah berat badan semula). Sebab saya menerima dirinya yang sekarang dan tak kisah kerana suka (tubuh) dia macam (berisi) itu.

“Jadi, tak perlu fikir kalau orang bercakap buruk tentangnya. Kalau dia kurus seperti model, saya tak fikir dia boleh mengecapi kebahagiaan seperti sekarang," katanya.

Menurut Fizz Fairuz dalam keadaan sekarang dia sangat bahagia dan bangga kerana isterinya itu dapat menguruskan rumah tangga serta menjaga empat anak mereka dengan baik.

Membuktikan dirinya boleh menerima perubahan Almy seadanya, Fizz Fairuz, 43, berkata dia pernah menghalang isterinya itu daripada melakukan pembedahan bariatrik atau kaedah pintasan usus.

Katanya, permintaan itu muncul gara-gara isterinya tertekan dengan warga maya yang kerap melakukan kecam badan (body shaming).

“Saya sentiasa bagi galakan sekiranya dia menyuarakan hasrat untuk mengurangkan berat badan, tapi bukan dengan cara potong usus.

“Prosedur itu memerlukan dua hingga tiga minggu untuk pulih, nanti anak-anak siapa nak uruskan?

“Saya sarankan ambil orang gaji dan pemandu kereta, dia pulak tak mahu, semua nak urus sendiri,” katanya.

Fizz Fairuz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Coast Guard Malaysia: Ops Helang di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Banyak mesej scammer

Naskhah mendapat sentuhan Allahyarham Pitt Hanif itu mula menjengah pawagam bermula hari ini.

Ia berkisahkan seorang pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Leftenan Maritim Hafiz (lakonan Saharul Ridzwan) yang berdepan ancaman lanun.

Hafiz juga bertungkus-lumus menyelamatkan tunang dan keluarganya yang diculik selain beberapa anggota APMM yang dijadikan tebusan.

Untuk rekod, Almy atau nama lengkapnya Almy Nadia Aminuddin Shah sering menjadi mangsa kritikan netizen selepas melahirkan anak dan tidak lagi bergiat aktif dalam dunia lakonan.

Almy dan Fizz Fairuz mendirikan rumah tangga pada 26 April 2004 dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan.

Sementara itu, Fizz Fairuz menafikan dia ada melayan mesej nakal daripada wanita yang mahu mendekatinya dalam media sosial.

Katanya, selepas memasuki alam perkahwinan, dia cuba mengelak daripada melayan kerenah individu tidak dikenali termasuk pihak yang menawarkan produk kurus untuk isterinya.

“Yang ada mesej saya kebanyakannya scammer (penipu) dan daripada penjual yang cadangkan produk kurus untuk isteri saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS