Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bella Astillah tanya Sophia kenapa lari?
Diterbitkan:  Feb 1, 2023 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

Isteri penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Bella Astillah mempersoalkan ketidakhadiran heroin drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Sophia AlBarakbah pada sidang media drama itu hari ini.

Bella yang juga pelakon dan penyanyi itu menyifatkan ketiadaan Sophia ibarat aktres berkenaan ingin melarikan diri daripada menjelaskan situasi sebenar.

“Kenapa tadi lari? Kenapa tak datang sidang media?” soalnya.

Sebagai respons kepada situasi itu, Bella berkongsi tangkap layar perbualan melalui WhatsApp dengan individu dipercayai Sophia pada laman Instagram miliknya hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas artikel mengenai Aliff, 30, disiarkan hari ini.

Menurut Bella, dia mendedahkan perkara itu kerana enggan dituduh memfitnah.

“Kepada yang cakap saya fitnah, saya maafkan awak.

“Tapi saya lah orang yang paling takut nak cakap benda yang tak betul. Kenapa saya berani bagi kenyataan sebab ia sahih,” katanya.

Tangkap layar perbualan yang didedahkan Bella menggambarkan seorang wanita yang memohon maaf dan mahu apa yang berlaku terus berlalu.

Dia juga mahu memperbetulkan keadaan selepas mengakui menyukai Alif.

Bella turut dirayu wanita berkenaan agar tidak mendedahkan konflik itu terutama kepada bapanya yang menghidap sakit jantung.

“Tak naklah orang terus bercakap fasal isu ini sebab sekarang saya tengah shooting drama dan kita fokus buat terbaik.

“Tolonglah biarkan isu ini berlalu. Benda boleh diselesaikan antara pihak terlibat. Tak nak libatkan satu Malaysia,” katanya.

Aliff ketika ditemui pada sidang media hari ini akur sekiranya Bella tidak membenarkan dia untuk bergandingan dengan Sophia dalam mana-mana penggambaran selepas ini.

Bella berkata, dia sebenarnya tidak bercadang untuk memberikan sebarang kenyataan lanjut berhubung situasi berbangkit.

Namun, katanya, dia berubah fikiran selepas membaca kenyataan dikeluarkan Sophia hari ini.

“Saya tiada perancangan nak bagi apa-apa kenyataan dah, tapi bila saya tengok Sophia bagi kenyataan konon tak nak terbabit satu Malaysia…

“Tapi (mungkin) inilah sebabnya dia tak nak heboh satu Malaysia,” katanya.

Bella berkata, apa yang dikongsikan itu baru sedikit.

“Ini baru 10 peratus,” katanya.

Panggilan kepada pengurus Sophia bagi mendapatkan maklum balas isu ini tidak dijawab.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS