Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aliff Aziz akur tak berganding dengan Sophia AlBarakbah

Demi menghormati permintaan isteri - Bella Astillah - pelakon Aliff Aziz akur untuk tidak lagi bergandingan dengan wanita yang didakwa cubaan menganggu rumah tangganya, Sophia AlBarakbah.

Kata penyanyi itu, dia enggan kontroversi terbabit terus berlarutan hingga merosakkan reputasi drama serta syarikat produksi drama dibintanginya iaitu Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

“Saya dan isteri dah berbincang secara rasional di rumah mengenai hal ini.

“Jadi saya rasa, jalan terbaik adalah untuk menghormati dan akur dengan apa Bella katakan jika itu boleh mengembalikan kepercayaan dan keyakinannya terhadap saya.

“Saya faham kehendak Bella kerana tiada mana-mana isteri yang nak perkara tak baik berlaku kepada suami mereka. Saya bersetuju dari sudut positif,” katanya.

Menurut Aliff, 31, walaupun tidak menyebut sebarang nama, dia pasti umum sudah mengetahui siapa wanita yang dituduh menggangu rumah tangganya.

Menjelaskan perkara itu, Aliff berkata, ketika ini dia hanya menjalani satu penggambaran drama saja yang memerlukannya bergandingan dengan pelakon berkenaan.

“Saya sedang jalani satu drama saja ketika ini, jadi tanpa sebut nama siapa-siapa pun umum akan sedia maklum siapa dia.

“Sebab itu sajalah heroin yang sedang bergandingan dengan saya dalam penggambaran sekarang,” katanya.

Aliff ditemui ketika sesi sidang media drama, Ku Akad Kau Dengan Bismillah di di sebuah restoran di Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, Bella mendedahkan seorang pelakon wanita berkali-kali membuat panggilan telefon serta menghantar pesanan kepada suaminya.

Katanya, perbuatan wanita terbabit mengganggu keharmonian rumah tangganya.

Bella, 28, bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pelakon tersebut namun warganet mula menyerang akaun Instagram Sophia dan memaksa aktres berkenaan mengehadkan ruang komen di media sosialnya.

Bagaimanapun, Sophia tidak hadir ke sidang media hari ini atas alasan tertentu di saat-saat akhir.

Panggilan telefon kepada pengurus Sophia pula bagi mendapat maklum balas tidak berjawab.

Pelakon itu juga tidak menafikan sebarang kenyataan didedahkan oleh isterinya pada media sosial sebelum ini bagi menghormati wanita berkenaan.

Aliff berkata, spekulasi mengenai hal peribadinya itu bukan gimik yang diwujudkan untuk melariskan drama berkenaan.

“Saya kenal isteri saya, dia tak akan keluarkan kenyataan saja-saja. Dia juga tak akan melenting kalau perkara tak betul.

“Dan ini bukan gimik dari produksi kerana saya tak akan bersetuju untuk melariskan drama melalui kaedah sebegitu,” katanya.

Pada masa sama Aliff tidak menafikan, kontroversi tersebut terjadi berpunca atas kekhilafan diri sendiri.

“Tiada siapa jangka kontroversi akan meledak. Saya anggap ini satu teguran daripada Tuhan apabila menjalani penggambaran supaya tak lalai dan cari iktilat kita.

“Pada awal penggambaran, kami langsung tak ada sesi bacaan skrip jadi kami terus berjumpa di set. Setiap benda baik ada ujian dan kalau kita tak jaga ini adalah salah satu daripadanya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS