Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nadiya Nisaa: Bersatu hati suarakan isu royalti, harta intelek
Diterbitkan:  Jan 30, 2023 5:45 PM
Dikemaskini: 7:14 PM

Pelakon Nadiya Nisaa berharap penggiat seni dapat bersatu hati dalam menyuarakan isu royalti dan harta intelek agar suara mereka dapat didengari pihak kerajaan.

Katanya, mungkin terdapat segelintir pihak bimbang untuk seia dan sekata kerana khuatir sekiranya pendapatan mereka terjejas.

“Kita tak bersatu kerana masing-masing mungkin mahu jaga periuk nasi sendiri sedangkan industri kita ini kecil.

“Mahu atau tak mahu kita tetap kena bersatu supaya pendapat penggiat seni dapat didengari dan disampaikan kepada kerajaan dengan lebih berkesan,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama penuh Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 37, itu mencadangkan agar kerajaan dapat memperbaiki sistem perlindungan harta intelek membabitkan pemain industri.

Bagi pelakon Terbaik Dari Langit itu, sistem sedia ada ketika ini dianggap masih lemah serta tidak dapat melindungi penggiat seni dengan baik, justeru, ia wajar dikaji semula.

“Kami masih berdepan kekangan untuk membuat tuntutan royalti atau bayaran kerja seni.

“Walaupun karya penggiat seni ditayangkan di televisyen atau dimainkan di radio, rata-rata mereka hanya dibayar sekali saja.

“Penggiat seni tempatan memerlukan badan pelindung seperti Screen Actors Guild yang memainkan peranan untuk melindungi hak penggiat seni secara keseluruhan.

“Saya harap akan ada pembaharuan sebab sistem seperti ini tidak pernah dilaksanakan sejak zaman Seniman Agung Allahyarham P Ramlee,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS