Paling Popular
Terkini

Meskipun pernah terkesan dengan jangkitan Covid-19, penyanyi Lah Ahmad yakin mampu memberi sehabis baik pada konsertnya yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok.

Kata Lah, keyakinannya untuk beraksi pada 25 Years Lah Ahmad Live In Concert di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) itu hadir selepas dia mengamalkan berpuasa bagi memperoleh kekuatan tenaga.

“Dah tentu saya akan buat sehabis baik cuma tenaga akan sedikit berbeza atas faktor usia.

“Saya pun pernah dijangkiti Covid-19. Jadi, ia akan beri kesan sebagai penyanyi namun saya cuba buat sehabis baik yang mampu.

“Disebabkan itu juga saya berpuasa. Memang berpuasa itu lemah tapi lepas itu dapat rasa tenaga kuat untuk buat benda-benda kecil. Kadang-kadang tiga kali seminggu saya berpuasa,” katanya.

Pemilik nama sebenar Abdullah Ahmad itu juga tidak menafikan sekiranya persembahan untuk malam pertama akan memberi impak berbeza berbanding malam kedua.

Katanya, sebab-sebab itu juga mungkin tidak dapat dielakkan.

“Dah tentu persembahan untuk dua malam takkan sama kerana penonton yang datang lain dan tenaga mereka juga lain. Senarai lagu untuk dua hari itu juga sedikit berbeza.

“Peminat yang datang juga mungkin minat lagu lain. Jadi setiap persembahan akan ada kelainan tersendiri.

“Tak banyak tapi pasti ada sebab kita tak dapat kawal mood penonton,” katanya ketika ditemui di sebuah studio di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada konsert itu, Lah akan berkongsi segala jerih-perih sepanjang 25 tahun dia bergelar anak seni.

Penyanyi itu akan mendendangkan kira-kira 20 lagu termasuk dari album keempatnya berjudul Jatuh.

Persembahan Lah akan dipimpin oleh pengarah muzik, Syawal Hussin bersama Don (gitar), Khazri (gitar), Wan (dram), Amai (bass), Mirzan (keyboard) dan Ude Sitar (program).

Mengulas lagu akan dimainkan pada konsert itu nanti, Lah, 42, berkata, demi peminat, dia akan memberi fokus kepada karya-karya sendiri bukannya milik penyanyi lain.

Penyanyi lagu Kenapa itu juga bersyukur kerana dia berjaya membuktikan dirinya bukan seorang penyanyi one hit wonder.

“Rasa sayang kalau saya bawa lagu saduran (cover songs) sebab peminat datang nak dengar lagu saya sendiri untuk tempoh dua malam.

“Peminat suka karya saya, sebagai komposer, saya juga gembira kerana ada peminat menggemari karya saya.

"Ia suatu perkara yang positif buat pencipta lagu seperti saya. Jadi lebih baik saya fokus nyanyikan lagu sendiri tanpa sebarang lagu cover,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS