Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kolaborasi dengan KPDN diyakini pacu pertumbuhan industri muzik, ekonomi
Diterbitkan:  Jan 26, 2023 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Kolaborasi industri muzik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diyakini boleh memacu lagi pertumbuhan industri serta ekonomi negara.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Performance Malaysia (PPM), Rosmin Hashim, berkata industri akan terus berkembang baik melalui kerjasama antara semua pemegang hak muzik termasuk penyanyi, pemuzik, penulis lagu, syarikat rakaman dan penerbit.

“Saya percaya melalui kerjasama baik bersama menteri Salahuddin Ayub, industri muzik tempatan dapat dibangunkan agar menjadi salah satu tiang utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rosmin, kaji selidik berkaitan impak industri muzik tempatan kepada ekonomi negara yang dilaksanakan firma perunding berwibawa, PricewaterhouseCoopers (PwC) pada 2016 mendapati pelaburan industri muzik tempatan menjana nilai berganda sebanyak RM6.1 bilion setahun kepada ekonomi negara.

Katanya, ia memberi peluang pekerjaan kepada lebih 83,110 pekerja setahun dan menyumbang cukai sebanyak RM247 juta setahun kepada negara.

“Jelas daripada hasil kaji selidik ini, perniagaan industri muzik tempatan membawa kesan yang signifikan kepada ekonomi negara,” katanya sebagai mengulas artikel Major & Minor ditulis penulis lirik terkenal, Ad Samad baru-baru ini.

Ad Samad berkata mungkin ramai tidak tahu kepentingan KPDN buat penggiat industri muzik tempatan.

Ada potensi besar

Katanya, kementerian yang kini diterajui oleh Salahuddin itu bukan saja bertanggungjawab terhadap bekalan dan harga barangan seperti telur, gula, minyak, ayam, ikan kembung dan sebagainya, tetapi juga terhadap harta intelek dan urusan membabitkan kutipan royalti penggiat muzik.

Ia berikutan royalti penggiat muzik dari pengguna muzik dengan diuruskan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah punca kuasa kewujudan Akta Hak Cipta yang diseliakan kementerian itu.

Mengulas lanjut, Rosmin berkata, Malaysia diberkati golongan pengkarya yang sangat kreatif dan mampu menghasilkan kandungan muzik yang bukan saja diterima peminat muzik tempatan tetapi juga pendengar di luar negara.

Menurutnya, kepelbagaian muzik dihasilkan penggiat muzik tempatan dalam bahasa Melayu, Cina dan India memberi Malaysia kelebihan.

“Muzik dan artis seperti Siti Nurhaliza, Shila Amzah, Joe Flizzow, Fish Leong, Michael & Victor dan Mugen Rao berjaya menembusi pasaran di rantau Asia termasuk negara Indonesia, China dan India.

“Malah, artis Melayu tempatan, Yuna, berjaya melebarkan sayap ke pasaran dunia. Lagu-lagu yang dihasilkan komposer tempatan juga telah dirakam oleh penyanyi-penyanyi popular dari luar negara,” katanya.

Tambah Rosmin, muzik nasyid tempatan yang dihasilkan juga berpotensi besar untuk menembusi pasaran negara yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam di seluruh dunia.

“Membina pasaran yang lebih besar untuk muzik Malaysia akan meningkatkan pendapatan semua penggiat industri muzik tempatan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurut Rosmin, penggiat industri boleh memberi input relevan berkaitan inisiatif penting yang boleh disokong pihak kementerian untuk membangunkan industri muzik tempatan secara berkesan melalui penubuhan majlis penasihat industri muzik.

Katanya, majlis penasihat berkenaan boleh terdiri dari wakil-wakil badan-badan industri muzik berwibawa yang mewakili semua penggiat industri muzik tempatan.

“Ia seperti Music Authors’ Copyright Protection (MACP) yang mewakili penulis lagu, Music Publishers Association (MPA) yang mewakili syarikat penerbit, Recording Performers Malaysia (RPM) yang mewakili penyanyi dan pemuzik, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang mewakil syarikat-syarikat rakaman dan Arts, Live Festival and Events Association (ALIFE) yang mewakili penganjur acara.

“Input dari penggiat industri muzik tempatan boleh digunakan untuk merangka satu pelan tindakan yang menyeluruh untuk membangunkan industri muzik tempatan demi kebaikan semua penggiat industri muzik dan ekonomi negara,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS