Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nadia Brian elak jadi 'penggoda' lepas bakat diiktiraf di Hong Kong

Diiktiraf Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Dunia Hong Kong, pelakon sensasi Nadia Brian berharap kejayaan itu mampu mengelak dirinya dari terus-menerus ditawarkan watak klise seperti wanita penggoda.

Aktres itu berkata, karakter ahli psikologi bernama Elly dijayakan dalam Eva (Take Me As I Am) seharusnya dapat membuka mata pengarah filem tempatan untuk memandang potensi bakatnya dari sudut yang pelbagai.

“Saya harap pengarah di luar sana dapat memandang seorang Nadia Brian dari sudut yang berlainan. Saya boleh jayakan karakter berbeza-beza, bukan hanya dari satu sudut; seksi dan penggoda semata-mata,” katanya.

Menyedari banyak mulut mempertikaikan kebolehan yang ada padanya, pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu menjelaskan, mereka sewajarnya memberi kepercayaan itu khusus kepada seorang graduan Diploma Seni Teater sepertinya.

Ujar Nadia, 31, dia juga perlu memilih watak bersesuaian agar ia berupaya membawa manfaat kepada masyarakat.

“Ramai orang pertikaikan kebolehan saya untuk berlakon. Mereka mungkin tak pernah tengok saya buat aksi lasak sendiri atau berlakon tanpa mekap. Ia satu pengalaman yang sangat puas. Dah terlalu banyak watak diberi berkaitan mistik dan penggoda.

“Kalau terlalu cliche, saya akan tolak dengan baik.

“Jadi, saya tak akan menerima mana-mana tawaran sekiranya karakter itu pernah dijayakan beberapa kali sebelum ini kerana tak mahu peminat bosan,” katanya yang juga mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Universiti Institut Teknologi Shah Alam.

Nadia berkata demikian pada majlis pratonton Eva yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Filem itu bakal ditayangkan di seluruh panggung tanah air bermula esok. Naskhah bergenre psikologi thriller itu berkisahkan Eva - seorang peguam - watak dilakonkan Nadia Aqilah yang menghidapi masalah kecelaruan personaliti.

Masalah mental itu berpunca daripada trauma dilalui Eva sejak dia remaja. Anak lelaki Eva (Shamshul Danish) cuba merungkai rahsia keluarga bagi membantu ibunya itu.

Selain Nadia, pemain watak utama Eva, iaitu Nadia Aqilah pula dinobat sebagai pelakon Wanita Terbaik melalui festival sama pada Julai tahun lalu.

Naskhah yang mendapat arahan Suhaiza Aziz itu turut mencipta sejarah apabila menjadi filem tempatan pertama memenangi pertandingan bulanan kategori thriller dan suspen anjuran Festival Filem Cannes tahun lalu.

Kemenangan itu seterusnya melayakkan Eva dicalonkan untuk merebut anugerah Filem Terbaik Kategori Thriller dan Suspen dan ditayangkan pada acara Festival Filem Cannes 2023 yang dijangka berlangsung pada Mei depan.

Nadia pada masa sama berkongsi bahawa dia pernah mengalami insiden keganasan rumah tangga sewaktu zaman kanak-kanak hingga memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.

Faktor itu mendorongnya untuk mendidik masyarakat supaya mengambil berat isu berkenaan melalui Eva yang turut mengangkat tema kesihatan mental.

“Ramai mangsa terlalu takut untuk bercakap soal trauma dialami atau saya dituduh membuka aib keluarga dan ibu bapa saya. Tapi sampai bila kita tak boleh bercakap perkara begini?

“Saya juga percaya, melalui kisah berilmiah, kita boleh mendidik generasi akan datang mengenai bahaya gangguan stres pasca trauma (PTSD) agar mereka mendapatkan rawatan bersesuaian,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS