ULASAN FILEM | "Kalu budok mu hambat tu namo mamat, mu makilah mamat. Menate Mamat! Celako Mamat! Beruk Mamat! Mu jange dok supoh atah namo Kelate, aku pun Kelate menate!" maki Redhuan.
Di tangan seniman Sabri Yunus, dia bukan Redhuan anak Kelantan biasa, tetapi dia ialah Duan Nago Bogho.
Itu antara dialog dalam filem Sabri. Ia bukanlah lontaran kemarahan seorang Duan semata-mata, sebaliknya dilafazkan atas nama maruah dan harga diri.
Naskah terbaru Sabri itu juga bukanlah kisah gedebe anak Kelantan semata-mata tetapi juga tentang pertarungan mempertahankan maruah makyung dan harga diri.
Duan Nago Bogho merupakan filem Malaysia yang tidak melupakan asal-usulnya. Biarpun premis yang disiapkan adalah makyung dan anak Kelantan, tetapi pemikiran dari buah tangan Sabri itu turut 'melimpah' lebih luas dan menyentuh kita - rakyat Malaysia.
Sabri agak licik menyembunyikan apa yang tersirat dalam filem ini. Di sebalik jalan cerita yang sederhana, di dalamnya ada lapisan demi lapisan makna yang mendalam.
Semua watak dalam filem Duan Nago Bogho adalah penting biarpun yang lebih ditonjolkan ialah Duan (lakonan Asrul Faizal). Justeru jika salah satu watak dimatikan di tengah cerita, ia akan mencacatkan pengkisahan Sabri.
Dunia makyung
Pertarungan dalam Duan Nago Bogho pula bukan terhad kepada gedebe orang Kelantan semata-mata sebaliknya semua wataknya bertarung dengan diri masing-masing.
Duan misalnya ‘bertarung’ demi mempertahankan maruah makyung dianggapnya milik orang Melayu saja. Bagi Duan membenarkan bangsa lain terlibat dalam makyung - tidak kira sebagai pemain atau pengkaji - adalah menjual maruah seni tersebut.
Selain itu, Duan juga ‘bertarung’ untuk menyudahkan tugasan yang diamanahkan oleh sepupunya, Awi, dan pada masa sama memenuhi permintaan kawan baiknya sejak di kampung, Nulik.
Awi merupakan promoter seni yang 'berjuang' di Kuala Lumpur. Awi membawa Duan ke ibu kota untuk menguatkan lagi aktiviti seni tradisional Kelantan.
Nulik pula memilih untuk terus menjadi gedebe di gelanggang yang lebih besar serta ganas. Kehadiran Duan di Kuala Lumpur satu rahmat buat Nulik.
Duan tidak boleh berpisah dengan dua dunia: makyung dan bergaduh. Bagi Duan, jika dijemput untuk bermain makyung dan diajak untuk bertumbuk, kedua-duanya wajib ditunaikan.
Seperti diucapkan Duan dalam filem itu: makyung dan ajakan bergaduh umpama jemputan ke majlis tahlil. Amat rasa bersalah jika tidak hadir. Bagi Duan, makyung dan bergaduh itu adalah maruah dirinya.
Duan Nago Bogho - biarpun mengangkat seni tradisional Kelantan dan pelakonnya juga hampir semua bertutur dalam loghat Kelantan - ia tidak akan menyukarkan penonton untuk memahami apa yang mahu diceritakan Sabri.
Sebagai anak muda yang sangat mementingkan maruah Duan akan membiarkan dia ditertawa di pentas makyung. Hal itu kerana ketika itu dia bukan Duan sebaliknya suatu watak dalam persembahan. Namun jangan sesekali ada sesiapa menganggu pementasan makyung.
Filem Sabri itu dibuka dengan aksi Duan di pentas makyung yang sedang menghiburkan penonton dengan watak lucunya. Namun apabila persembahan terganggu akibat biadab seorang penonton, dia terjun dari pentas makyung lalu menjadi yang sebenar.
Angkat sastera
Duan Nago Bogho juga mengajar penonton bahawa orang yang kita hormat dan percaya ada masanya akan belot serta memusnahkan kepercayaan yang diberikan selama ini.
Ia turut memberitahu penonton bahawa, ada ketikanya atas kepentingan peribadi, ada pihak yang akan mempergunakan pihak lain.
Sabri bukan hanya mengangkat kesenian makyung tetapi bersama itu dia tidak melupakan dunia sastera dengan menjadikan kawasan Rumah Pena (Persatuan Penulis Nasional) sebagai lokasinya. Dewan Usman Awang dijadikan latar tempat latihan makyung, Anjung Khalid Salleh menjadi tempat berbincang dan Pentas Sutung Umar RS sebagai gelanggang persembahan.
Filem terbitan syarikat Kalamarif Holdings Sdn Bhd (Kalamarif Holdings) itu mula ditayangkan Sejak 19 Jan lalu. Tidak ramai penerbit yang menerbitkan sebuah filem aksi yang turut mengangkat seni tradisional Melayu, apatah lagi makyung yang mungkin sangat asing bagi generasi muda.
Keberanian penerbit filem Duan Nago Bogho, Kolonel Bersekutu (PA) Arisz Ab Rahman membiayai filem aksi Sabri sewajarnya dipuji dan dicontohi penerbit-penerbit lain.
Selain Asrul Faizal yang sebelum ini memegang watak Jaha Amerika dalam filem Budak Kelantan, Duan Nago Bogho turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy, Angeline Tan, Prof Dr Lim Swee Tin, Hushairi Husin dan Sabri Yunus sendiri.
Perjalanan filem tersebut bergerak pantas tetapi tidak menganggu jalan cerita. Ia dikukuhkan dengan dialog bersahaja tetapi penuh makna. Kisah cinta dan dendam - biarpun hanya ditampilkan sedikit berbanding kesenian - tetap merupakan kekuatan dalam filem Sabri kali ini.
Memetik kata-kata Sabri, dia hanya tukang masak yang menyediakan hidangan manakala penerbit adalah tuan punya restoran yang membuka pintu kepada pelanggan (penonton) untuk menikmati hidangan.
Dan terbukti masakan yang disediakan oleh tukang masak bernama Sabri memang enak. Duan Nago Bogho 'menjadi'. Cuma Duan Nago Bogho agak sedikit menyusahkan rakyat Kelantan kerana mereka terpaksa sekurang-kurangnya ke Kuala Terengganu untuk menikmati ‘masakan’ enak yang disediakan oleh Sabri.
Tabik hormat kepada Sabri dan Kalamarif Holdings. Duan Nago Bogho membuktikan Sabri adalah seorang pengarah dan seniman yang mempunyai kelas tersendiri.
IRWAN MUHAMMAD ZAIN ialah wartawan Astro Awani.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.