Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Saharul gagahkan diri di Laut Andaman walau fobia laut

Walaupun fobia terhadap laut, pelakon Saharul Ridzwan tekad ‘ditinggalkan’ kira-kira sejam di tengah Laut Andaman, demi menjayakan babak aksi tanpa khidmat pelakon lagak ngeri.

Saharul berkata, ketika menunggu untuk diselamatkan oleh pasukan penyelamat dia hanya berpaut pada sebatang kayu tanpa memakai sebarang alat atau jaket keselamatan.

“Memang dah lama saya pasang impian untuk melakonkan filem aksi.

“Disebabkan Coast Guard Malaysia: Ops Helang adalah filem aksi yang pertama, jadi saya cabar diri untuk lakonkan semua lagak ngeri sendiri macam pelakon Hairul Azreen.

“Untuk cabaran ini, saya terpaksa berperang dengan diri sendiri sebab tak pandai berenang dan takut air dalam, berpaut pada kayu tu selama sejam pun dah cemas, memang cuak, terfikir matilah,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Saharul Ridzwan Hashim itu berkongsi saat lebih mencemaskan adalah ketika dia berdepan helikopter penyelamat.

“Angin kipas jentera tersebut beberapa kali menenggelamkan tubuh saya ke dalam laut. Akibat angin kuat, mata saya juga tak boleh dibuka,” katanya.

Saharul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi Coast Guard Malaysia: Ops Helang iaitu Yes Sir di Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Filem itu berkisahkan kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz - watak dilakonkan Saharul - yang ingin memulakan kehidupan baru.

Naskhah mendapat arahan Allahyarham Pitt Hanif itu turut dibintangi pelakon seperti Julia Farhana Marin dan Fizz Fairuz. Ia akan menemui penonton di pawagam tanah air mulai 2 Februari ini.

Tambah Saharul, 33, filem itu juga memaksanya untuk banyak bersabar terutama apabila berdepan masalah cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, setiap kali ombak besar, kru penggambaran terpaksa berpatah balik bagi mengelak masalah tidak diingini.

“Mental boleh koyak apabila jalani penggambaran di tengah laut. Kalau ombak kuat, kami kena berpatah balik.

“Ia sekali gus menambah durasi tempoh penggambaran. Kadang-kala ada juga penggambaran dibatalkan terus sebab hujan dan bagi elak bahaya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS