Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
‘Poligami itu indah kalau suami berlaku adil’ - Puteri Sarah

“Poligami itu indah jika suami berlaku adil,” demikian kata pelakon Puteri Sarah Liyana berhubung tindakannya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Puteri Sarah mengulas demikian bagi menghentikan tohmahan dan tuduhan segelintir masyarakat yang melabelnya sebagai seorang isteri derhaka kepada suaminya, Syamsul Yusof selain bersikap anti poligami.

“Saya ditipu suami sendiri, dia (Syamsul) tak minta izin untuk bernikah lagi, jadi inilah tindakan yang dirasakan paling adil dan terbaik buat diri saya,” katanya.

Diminta mengulas keputusan berkenaan yang sekali gus membuka ruang untuk isteri kedua Syamsul, iaitu Ira Kazar untuk memiliki lelaki itu sepenuhnya, Puteri Sarah berkata, dia sedikit pun tidak berfikiran sebegitu.

“Saya tak fikir macam itu. Saya hanya fikir sudah melakukan yang terbaik buat diri saya,” katanya.

Ditanya soal anak-anak, Puteri Sarah, 37, berkata Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3, masih belum mengetahui kisah sebenar yang berlaku antara ibu bapa termasuk tuntutannya terhadap perceraian itu.

“Anak-anak tak tahu apa-apa dan mereka masih berada di bawah jagaan emak serta ibu mertua saya.

“Mereka seperti biasa gembira,” katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap pengarah dan penerbit sensasi Syamsul Yusof selepas mendakwa tidak menemui sebarang jalan penyelesaian bagi meleraikan kemelut rumah tangga yang dialaminya selama empat tahun.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu juga mengesahkan Syamsul kini sudah tidak lagi menyekatnya di aplikasi WhatsApp.

Malah katanya, pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu ada menghubunginya saat-saat akhir sebelum dia tekad memfailkan perceraian tersebut.

Kata Puteri Sarah, Syamsul cuba mengajaknya untuk berbincang namun masing-masing terkekang dengan jadual kerja.

“Ya dia ada hubungi cuba ajak berbincang. Tapi kami masing-masing sibuk dengan penggambaran.

“Lepas ini mungkin berbincang depan peguam saja. Ada juga kata-kata terakhir dari dia, tapi saya tak boleh kongsikan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS