Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Peguam Puteri Sarah: Nikah di Thailand langgar perintah injunksi

Peguam pelakon Puteri Sarah Liyana, Akberdin Abdul Kader memaklumkan anak guamnya itu akan meneruskan saman injuksi terhadap keluarga Kazar Saisi kerana didakwa melanggar perintah mahkamah sebelum ini.

Akberdin berkata, isteri kedua Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar, bapanya, Kazar Saisi dan kakaknya, Yasmin Kazar didakwa melanggar perintah injunksi berkenaan.

“Kami akan mulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ira Kazar, ayahnya dan kakaknya kerana terang-terangan melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tempoh hari.

“Mereka tak patuh perintah itu yang kekal hingga hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap Syamsul di Mahkamah Syariah, Kuala Lumpur hari ini.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014.

Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.

Pada 28 Jun tahun lalu, Puteri Sarah melalui peguamnya menyerahkan perintah injuksi interim kepada pihak defendan iaitu Ira.

Perintah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 Jun lalu mengarahkan defendan berhenti meluah atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan sama ada di media sosial atau mana-mana platform mengenai dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.

Perintah itu juga bagi memastikan tiada lagi gangguan dalam keadaan semasa terhadap Puteri Sarah.

Terdahulu, Puteri Sarah, 37, berkata dia lega selepas memfailkan perceraian terhadap Syamsul kerana enggan dimadukan.

Permohonan cerai itu difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Syamsul pada 6 Januari lalu, meleraikan segala spekulasi apabila dia mengaku sudah menikahi Ira Kazar yang juga anak pelakon veteran Kazar Saisi di Thailand.

Akberdin juga berkata, pihaknya sudah menghantar surat amaran kepada keluarga Kazar, bagaimanapun, mereka sekali lagi melanggar dan mengganggu defendan.

Katanya, Ira membuat tindakan lebih berani apabila dia dan Syamsul bernikah pula di luar negara tanpa mendapat persetujuan daripada mahkamah syariah di Malaysia.

“Kami akan tunjukkan jenis-jenis pelanggaran yang dilakukan. Sebelum ini memang mereka melanggar perintah namun selepas diberi surat amaran, mereka tak melakukannya lagi.

“Tapi kali ini nampaknya pelanggaran yang paling dahsyat apabila mereka ke luar negara bernikah tanpa mendapat izin mahkamah di sini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS