"I like to talk about myself!" kata Jalaini Abu Hassan.
Dia ialah pelukis yang pernah menyatakan sebak di dada apabila bercakap mengenai kepayahan pelukis muda mencari tapak untuk dikenali sambil memaparkan gambar kopi mahal di Facebooknya beberapa minggu yang sudah.
Entah sebagai lambang berjayanya dia atau entah sebagai pemberi semangat kepada artis muda yang masih bergelut mahu membeli kopi O berharga RM1.50 segelas itu.
Dan memang pun Jalaini seorang seniman yang selalu sangat menjadikan diri sendiri sebagai contoh apabila saja dia mahu bercakap mengenai seni.
Pusing ke mana pun dalam perbicaraan, akhirnya dia akan kembali menyatakan betapa karya-karyanya dan juga dirinya adalah sosok yang lebih utama yang perlu diperkatakan.
Yang menariknya ialah Jalaini mempunyai hak untuk berkata sedemikian. Hal itu kerana Jalaini telah membuktikan betapa dia adalah pembina kota kepada kata yang diucap.
Dan lahirnya banyak 'klon Jai' juga adalah tanda betapa berpengaruhnya Jalaini dalam dunia seni tampak di negara kita ini. Hal itu mungkin akan membantutkan kemajuan seni tempatan namun tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan Jalaini kepada pembentukan pemikiran seniman muda.
Sementelah pula dia merupakan tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam.
Jalaini juga adalah pengkarya dari kalangan segelintir seniman yang berani mempertahankan karya-karyanya. Mungkin kerana dia tahu apa yang dilakukan (dalam berkarya) dan dia juga terbuka dalam menerima kritikan, sesuatu yang agak asing kepada banyak karyawan seni yang mahu digelar sebagai seniman.
Dia juga keras dalam mengkritik hasil kerja seniman tempatan serta berani melakukannya di depan umum.
Karya Jalaini sendiri tidak diam daripada dihentam, namun - seperti yang dinyatakan tadi - dia menerima apa pun pandangan mengenai karyanya sebagai suatu bentuk pembelajaran.
"Menulis bukan daerah saya," kata Jalaini membuka bicara dalam buku Catan Sopan. Buku itu adalah himpunan puisi dan catan yang dihasilkan olehnya.
Bersama keluarga Anak Alam
Catan Sopan dipersembahkan dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris. Terjemahan ke dalam bahasa Inggeris dihasil oleh ahli akademik tersohor, Muhammad Haji Salleh.
"Tidak sering kita dihadiahkan dan dipelawa menatap serta menghayati dua seni sekali gus pada sesuatu pembacaan," kata Sasterawan Negara berkenaan mengenai kehadiran buku Jalaini.
Kita sudah lama dipecah dan dijajah dalam banyak hal. Sangat jarang berlaku pada waktu ini apabila penulis meraikan acara pelukis atau pelakon datang kepada acara penulis.
Hal itu kerana kita ini masing-masing mempunyai ego yang besar dan menganggap hal seni kita sahajalah yang terlebih penting berbanding seni orang lain.
Sedikit rasa mahu meraikan teman dalam hal kesenian tentu saja akan membuahkan hasil yang lebih memberangsangkan.
Jalaini mungkin merendah diri apabila dia mengatakan, menulis bukan 'daerah' dia tetapi seperti yang diketahui umum setiap pelukis juga adalah penulis.
Setidak-tidaknya pelukis perlu memikirkan judul yang baik untuk karya mereka. Dan tentu sekali tidak ada siapa pun yang boleh menafikan betapa Latiff Mohidin, pelukis ternama negara yang juga dikenali sebagai penulis yang teramat baik.
Jalaini juga adalah antara seniman yang sempat menumpang di rumah Anak Alam yang didirikan oleh Latiff pada masa-masa terakhir kolektif tersebut wujud.
Catan Sopan mungkin datang agak lewat jika kita perhatikan kemarahan yang dipersembahkan oleh Jalaini.
Melalui The Slithering Sucker dia menyatakan:
Suara catan ini juga menceritakan betapa
leka dan lena kita sehingga dirampok oleh petualang
dalam rumah sendiri. Tidak ada yang tinggal kerana
semuanya disedut ke tembolok.
Sementara dalam Puisi Biadab Puisi Beradab Jalaini mengatakan:
Watak-watak jahat dinobat sebagai Jebat
menggendong bangsanya yang kian tenat.
Resah dan gelisah itu sudah ditulis oleh berpuluh-puluh penulis sebelum Jalaini dan ia tidak mungkin akan mengubah apa-apa. Pemimpin jahat akan sentiasa menjadi pemimpin jahat dan rakyat yang tolol akan kekal dalam ketololannya.
Apa yang membezakan kemarahan Jalaini dengan penulis lain ialah rasa tersebut dipersembahkan oleh seorang pelukis.
Di samping catan yang Jalaini hasilkan untuk menghiasi buku tersebut, dia juga menjadi pemberani apabila enggan berselindung di sebalik catan dalam menyatakan kemarahannya.
Pelukis biasanya akan berkias melalui catan dalam melepaskan marah dan itu telah dilakukan oleh Jalaini. Namun apabila dia menghasilkan pula satu kumpulan puisi yang mungkin dijadikan bahan bukti betapa dia adalah seorang pemberontak kepada sistem, ia menjadi hal yang harus diperhatikan.
Pemilihan perkataan di dalam Catan Sopan juga amat sederhana. Tidak terdapat kata-kata yang keterlaluan atau bombastik.
Mungkin kerana itu catatan yang dipersembahkan lebih wajar digelar sebagai nukilan hati seorang pemerhati.
Hal itu membuatkan buku Jalaini menjadi sedikit peribadi dan ia turut membuatkan pembaca lebih dekat sekali gus kian mengenali sosok yang selama ini lebih diketahui sebagai seorang pelukis.
Dalam hal yang lain, Jalaini berjaya memberi suara kepada kumpulan lukisan yang dia hasilkan selama ini.
Ada yang berpendapat bahawa Jalaini hanya berani menyatakan rasa tidak puas hati pada waktu dia semakin hampir dengan usia persaraan, namun seperti bertaubat, menjadi berani menentang penindasan pada saat mana pun wajar dihormati.
Catan ini skrin paling sopan ditayang
dipanggung kehidupan.
Pancaran kiasnya menyusup di dinding-dingding usang
di lorong-lorong lengang.
Sedangkan di pintu belakang, malam sedang
terlentang di ranjang curang.
- Curang Pintu Belakang
Buku Catan Sopan diterbitkan oleh Rogue Art dan boleh didapati di Ilham Gallery Gift Shop, Lits Book dan Pakka English.