Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak Elvis Presley, Lisa Marie meninggal dunia
Diterbitkan:  Jan 13, 2023 11:48 AM
Dikemaskini: 3:48 AM

Satu-satunya anak legenda Rock ‘n’ Roll, mendiang Elvis Presley, Lisa Marie Presley meninggal dunia akibat diserang sakit jantung semalam.

Ibunya, Priscilla Presley berkata, dia amat bersedih dengan pemergian anak perempuannya itu.

“Dengan berat hati saya berkongsi berita mendukacitakan bahawa anak perempuan saya Lisa Marie telah meninggalkan kami,” katanya dalam kenyataan lapor Reuters.

Penyanyi dan penggubah lagu itu mengalami serangan jantung di rumahnya di pinggir bandar Los Angeles Calabasas sebelum dikejarkan ke hospital.

Lisa dilahirkan pada tahun 1968 dan merupakan pemilik rumah agam Graceland bapanya di Memphis, yang menjadi tarikan pelancong.

Dia berumur sembilan tahun ketika Elvis meninggal dunia di Graceland pada tahun 1977.

Kerjaya muziknya bermula dengan album sulung To Whom It May Concern yang diterbitkan pada 2003. Ia diikuti oleh Now What (2005). Kedua-dua album itu mencecah 10 kedudukan teratas carta album Billboard 200.

Ia kemudian disusuli dengan album ketiganya, Storm and Grace yang diterbitkan pada 2012.

Lisa pernah empat kali mendirikan rumah tangga. Antaranya, dia berkahwin dengan bintang Pop Michael Jackson pada 1994, iaitu 20 hari selepas penceraiannya dengan suami pertama yang juga pemuzik, Danny Keough.

Pasangan berprofil tinggi itu bercerai pada 1996 ketika Jackson sedang bergelut dengan dakwaan pencabulan kanak-kanak.

Lisa kemudian berkahwin dengan pelakon terkenal, Nicholas Cage, peminat besar bapanya, pada tahun 2002. Namun, Cage memfailkan perceraian empat bulan kemudian.

Perkahwinan keempatnya adalah dengan pemain gitar dan penerbit muziknya Michael Lockwood. Perceraian mereka dimuktamadkan pada 2021.

Lisa memiliki empat orang anak. Anak tunggal lelakinya, Benjamin Keough meninggal dunia pada usia 27 tahun manakala anak perempuannya, Riley Keough, adalah seorang aktres.

Dia memiliki dua lagi anak kembar perempuan, Harper dan Finley Lockwood, 14 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS