Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ibu bapa cermin terbaik buat anak-anak, kata Edika Yusof

Pelakon Edika Yusof mengaku sewaktu menjadi model iklan dan berkhidmat sebagai pramugara suatu ketika dulu, dia memang seorang lelaki yang mudah memiliki ramai teman wanita.

Namun Edika berkata dia membuang sikap suka berfoya-foya selepas menikahi isterinya, Nor Hidayah Yusri demi membina kehidupan berumah tangga.

Meskipun Nor Hidayah - yang lumpuh sejak 18 tahun lalu - pernah memintanya untuk berpoligami, Edika atau nama asalnya Mohd Yusof Abd Majid enggan menduakan isterinya kerana ingin menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.

“Masa muda memang saya akui suka bergembira dan mempunyai ramai teman wanita. Tapi sebaik berkahwin, saya tutup buku lama dan buka buku baru.

“Apabila seseorang itu berkahwin, pastikan dapat jaga isteri yang satu dengan baik.

“Saya cuba buat yang terbaik demi keluarga kerana anak-anak akan menjadikan kita contoh, tak banyak pastinya sedikit mereka tetap akan ikut cara kita,” katanya.

Edika berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman drama bersiri terbaru lakonannya, Projek: High Council di Kuala Lumpur kelmarin.

Mengakui dirinya sehingga kini sering didekati ramai wanita, Edika, 55, berkata dia tetap mempertahankan rumah tangganya kerana tidak mahu Nor Hidayah menerima nasib yang sama dengan ibunya.

“Saya bukan nak tunjuk hebat mempunyai satu isteri, tapi saya cuba jadi yang terbaik. Bapa saya berkahwin lima kali, tapi ibu saya - isteri kedua - yang diceraikannya.

“Saya kagum dan hormat apabila melihat mak saya. Apabila ditinggalkan seorang lelaki, seorang wanita itu gigih menjadi ibu tunggal, itu sebab saya takkan tinggalkan isteri saya,” kata Edika lagi.

Bagi pelakon Awas itu, poligami bukan sesuatu yang mudah apatah lagi perkahwinan menuntutnya untuk berlaku adil sebaik mungkin.

“Tak dinafikan nak kahwin dua atau tiga, esok pun boleh. Tapi saya sedar amalan poligami bukan satu perkara yang mudah dan tiada istilah adil buatnya.

“Bukan senang. Kalau nak bagi seorang satu juta untuk berlaku adil, tapi dari segi masa, anak, kasih sayang, ia tetap sukar untuk dipenuhi," katanya.

Untuk rekod, Nor Hidayah menghidap penyakit meningitis hingga menyebabkannya koma, bisu, hilang deria pendengaran selama setahun, diikuti lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak kedua.

Kisah kesetiaan Edika menjaga isteri yang lumpuh bertahun-tahun kembali menjadi sebutan terutama selepas tular isu pergolakan rumah tangga pelakon dan pengarah Syamsul Yusof dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul mendedahkan dia sudah pun menikahi wanita yang sering dikaitkan dengannya, iaitu Ira Kazar.

Selepas pelbagai kontroversi, Puteri Sarah akhirnya menyatakan hasratnya untuk memfailkan perceraian selepas lapan tahun hidup bersama dengan Syamsul.

Edika mengakui kisah hidupnya yang dibanding-bandingkan dengan Syamsul menimbulkan sedikit kegusaran.

Katanya, dia bukan suami yang sempurna tetapi hanya lelaki biasa yang tekad menjaga rumah tangga demi isteri dan anak-anaknya.

“Saya cukup takut apabila ramai orang merujuk kepada saya apabila timbul isu rumah tangga.

“Saya bukan malaikat. Saya cuma mahu berikan yang terbaik kepada keluarga saya.

“Saya dengan isteri pun ada juga bergaduh tapi kami cuba bincang dan selesaikan, tidak berkongsi kepada umum,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS