Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sayang kalau Umno dirosakkan, kata 'Mat Kilau'

Jangan cuba musnahkan parti yang dibina puluhan tahun - itu harapan pelakon Adi Putra terhadap Umno yang bersidang sejak semalam sehingg Sabtu ini.

Kata Adi Putra tidak wajar sama sekali perjuangan Umno yang diasaskan sejak sekian lama mahu disia-siakan hanya kerana perbezaan pandangan dan kumpulan dalam parti terbabit.

"Kalau masih ada yang ingin memecah-belahkan Umno, sayanglah... Kita dah bina Umno selama 62 tahun," katanya.

Pelakon membawakan watak Mat Kilau dalam filem arahan Syamsul Yusof yang mengumpul kutipan lebih RM90 juta itu ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur petang tadi.

Adi Putra hadir untuk melihat secara dekat persidangan tiga sayap Umno yang berjalan serentak iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri.

Esok Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan dasar sebelum perbahasan dibuka kepada perwakilan.

Kata Adi Putra dalam keadaan sekarang semua ahli Umno perlu menerima hakikat yang ada dan move on berbanding mengatur sebarang langkah yang akhirnya akan membawa perpecahan.

"Takkanlah kita nak sia-siakan saja perjuangan Umno. Hakikatnya bagi saya, kita kena move on," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertandingan bagi jawatan presiden dan membabitkan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, Adi Putra berkata, setiap seorang mempunyai pandangan sendiri dalam sesuatu isu.

"Sama juga dengan saya... saya ada pendirian sendiri, iaitu saya ikut keputusan parti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS