Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Daiyan Trisha terasa hati dituduh jadi wanita simpanan

Perkongsian kediaman mewah yang baru dibeli di media sosial Julai tahun lalu diakui pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha mengakibatkan timbul cakap-cakap belakang mengenai dirinya.

Katanya, segelintir pihak dengan sewenang-wenang menuduh dia dibela sugar daddy untuk mendapatkan kemewahan yang dimiliki sedangkan penat lelahnya tidak ‘diukur.’

“Saya terkilan apabila ada orang cakap ada sugar daddy. Penat saya bekerja. Ia satu tuduhan yang berat dan amat melukakan hati. 

“Mungkin mereka tak nampak saya capai sendiri apa yang saya miliki sekarang. Apa yang orang ramai lihat itu adalah hasil daripada usaha saya. Saya sudah tunjuk (usaha), namun, mereka masih tak percaya,” katanya.

Pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin itu turut mempersoalkan mengapa kebolehan wanita sering diperkecilkan apabila mereka mengecapi sesuatu kejayaan.

Pun begitu, katanya, pendapat sedemikian berbeza pula untuk golongan lelaki.

“Setiap kali wanita berjaya, pasti ada mulut-mulut yang berkata bahawa ia bukan disebabkan usaha mereka sendiri. 

“Tapi kenapa apabila lelaki berjaya, tak ada pula pihak berkata ia disebabkan sugar mummy,” keluhnya.

Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman drama bersiri terbaru lakonannya, Projek: High Council di Kuala Lumpur semalam.

Selain Daiyan, drama mendapat arahan Anwari Ashraf  turut membariskan pelakon seperti Nadhir Nasar, Naim Daniel, Aida Aris, Azhar Sulaiman, Edika Yusof, Mierul Aiman dan Amir Ahnaf.

Ia berkisahkan senario gangsterisme dan kes buli di sekolah asrama lelaki Kolej Ungku Dramat (Kudrat).

Naskhah itu dijadual mula tayangan secara strim di Astro On Demand atau Astro GO bermula 14 Januari ini atau di saluran linear, Astro Citra saluran 108 bermula 23 Januari, setiap Sabtu, jam 9.00 malam. 

Daiyan, 29, dalam perkongsian Instagram sebelum ini memuat naik beberapa imej gambar dan video banglo mewah dua tingkat yang dibelinya.

Pelakon Busker itu terlebih dulu membeli rumah pertama iaitu jenis kondominium yang terletak di ibu kota pada 2019 hasil mengumpul wang selama dua tahun.

Sementara itu, Daiyan turut menepis dakwaan dia menggunakan ‘kabel’ untuk meraih peluang pekerjaan dengan pelbagai jenama fesyen mewah.

Katanya, walaupun bidang peragaan sukar, namun dia bekerja keras untuk membina nama dalam industri itu sejak empat tahun lalu.

“Saya bukan baru bekerja dengan jenama mewah, sudah tentu, banyak kriteria yang mereka perlu pertimbangkan sebelum ambil seseorang bekerja.

“Apabila bekerja dengan jenama antarabangsa seperti Louis Vuitton dan Gucci misalnya, ia sekali gus memudahkan nama saya untuk dikenali di luar, jadi itu adalah sasaran saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS