Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Zaman pengarah boleh mendapat apa saja yang diingini, kata Aziz M Osman, sebenarnya sudah berlalu dan keadaan sekarang jauh berubah berbanding dulu.

Menurutnya, pengalaman sebegitu pernah dirasainya suatu ketika dulu namun dengan perbezaan ketika in dia harus berlapang dada.

“Saya pernah tempuhi zaman apa saja diminta, pasti akan dapat tapi zaman itu semua dah berlalu.

“Kita pernah naik (dulu), jadi kena turun (sekaang), inilah namanya kehidupan,” kata pengarah terkenal itu.

Situasi itu juga, menurut Aziz, 60, menjadi antara penyebab dia memperlahankan kariernya dalam bidang pengarahan sejak kebelakangan ini.

Malah kata Aziz, menghasilkan filem atau drama buat masa sekarang bukan lagi satu mata pencarian utama sebaliknya, ia dilakukan semata-mata kerana minat.

“Saya buat sebab suka, bukan kerana duit.

“Sekarang saya undur diri sedikit ke belakang (perlahankan karier seni) demi bantu isteri berniaga.

“Ditakdirkan, muncul pula tawaran rezeki untuk berlakon dengan beberapa produksi, alhamdulillah,” katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama bersiri lakonan terbarunya, Legenda Puteri Qaseh, di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ditanya jika dia memperlahankan rentaknya sebagai pengarah kerana merajuk gara-gara XX Ray III menerima kecaman orang ramai, Aziz menjawab ia bukan petunjuk kariernya sebagai sutradara sudah berakhir.

Mengakui kredibilitinya sedikit terjejas, namun Aziz yakin masih ramai peminat mengingati karya-karya arahannya yang pernah mencapai kutipan pecah panggung.

“Mengenai XX Ray III, ya kredibiliti saya terjejas, tapi bukan keseluruhannya. Jadi, I have nothing to prove (tak perlu buktikan apa-apa lagi).

“Apa saja keburukan penonton lemparkan mengenai filem itu, saya harus terima dengan berlapang dada sebab ia apa yang saya telah usahakan.

“Mungkin orang bercakap Aziz M Osman dah kering idea, hal seperti ini juga pernah ditempuhi Allahyarham P Ramlee, tapi bagi saya ia bukan bermakna pengakhiran sesebuah karier,” katanya.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, disebabkan XX Ray III juga dia perlu mengambil langkah lebih berjaga-jaga.

Alasan pengarah yang terkenal melalui filem seperti Leftenan Adnan, Femina, Fantasi, dan Puteri Impian itu, dia tidak mahu berdepan dengan kekangan bajet lagi.

“Selagi saya tak dapat bajet sebenar dan ‘cantik’ saya lupakan saja niat untuk mengarah.

“Peruntukan awal XX Ray III sepatutnya sebanyak RM3 juta, tapi ada masalah tak dapat dielakkan membuatkan produksi terpaksa menyiapkan filem itu dengan kos RM1.2 juta saja, maka filem itu tak sempurna,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS