Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu kru kena lenjan kerja 20 jam memalukan, kata Aziz

Pengarah terkenal, Aziz M Osman, berpendapat masalah 'rumah tangga' yang berlaku dalam industri seni di negara ini wajar diselesaikan secara kekeluargaan, bukannya didedahkan kepada umum sehingga mengaibkan pihak yang terbabit.

Pengarah dan pelakon itu juga menyifatkan isu 'melenjan' pekerja produksi sehingga 20 jam yang menjadi tular baru-baru ini amat memalukan terutama apabila masalah berkenaan dikongsikan di media sosial.

“Masalah 'rumah tangga' kita harus diselesaikan secara dalaman bukan diceritakan pada orang luar. Apabila orang luar tahu hal macam ini, ia jadi amat memalukan.

“(Akibat isu itu) Sampai ada persatuan tulis surat kepada menteri untuk pecat orang itu orang ini.... sangat tidak beretika sebab ini 'rumah tangga' kita.

“Ia sekali gus memalukan saya sebagai penggiat industri,” katanya.

Menurut Aziz, 60, masalah yang timbul sejak beberapa hari lalu itu mampu diselesaikan secara baik sekiranya semua pihak terlibat dapat berkumpul di meja rundingan.

Katanya dalam sesebuah produksi ada penerbit dan pengurus produksi dan jika ada arahan daripada pengarah untuk bekerja sehingga 48 jam sekalipun, ia boleh dibincangkan sesama sendiri.

“Kalau kita bersepakat, isu macam ini boleh diselesaikan secara muafakat,” katanya.

Aziz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman drama bersiri terbaru lakonannya, Legenda Puteri Qaseh di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Terdahulu, aktor bersuara lantang, Sharnaaz Ahmad menempelak segelintir pihak produksi yang masih mengerah pelakon dan kru bekerja 20 jam sehari didakwanya demi kepentingan mereka.

Pelakon Jebat itu juga berkata, pihak bertanggungjawab perlu melakukan pemantauan ketat serta mengambil langkah bersesuaian sekiranya terdapat produksi yang mengamalkan budaya kerja tidak sihat.

Kata-kata ‘pedas’ Sharnaaz, 37, mengundang pelbagai reaksi pengarah dan penerbit antaranya Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosly yang berpendapat masalah timbul kerana kadangkala ia tidak dapat dielak.

Jurey pada masa sama turut mengingatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) supaya memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu penggiat industri untuk menangani isu itu.

Aziz berkata, situasi hampir sama pernah berlaku suatu ketika dulu sewaktu dia menjalankan penggambaran filem Femina pada 1994.

Jelasnya, ketika itu dia perlu ke Amsterdam, Belanda bagi melanjutkan pelajaran di sana dan pada masa sama penggambaran Femina masih berlangsung.

Justeru, katanya, pada ketika itu dia terpaksa memberi dua pilihan kepada pekerja dan kru produksi.

“Saya beritahu pekerja sama ada mereka nak pulun kerja selama 48 jam sekali gus atau tunggu saya habis belajar di Amsterdam selama empat bulan dan kemudian baru sambung penggambaran.

“Hasil perbincangan, mereka tak ada masalah untuk kerja 48 jam. Hal itu berjaya dilakukan.

"Ini adalah contoh konflik berlaku pada saya yang diselesaikan secara permuafakatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS