Pengarah dan penerbit Yusry Abdul Halim beranggapan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sewajarnya diberi kuasa yang membolehkan mereka memantau produksi bagi mengatasi isu “lenjan kerja 20 jam” dalam kalangan pelakon dan kru.
Kata Yusry, memandangkan agensi kerajaan berkenaan tiada kuasa untuk berbuat demikian, isu bekerja untuk tempoh terlalu panjang yang sering membelenggu pelakon dan produksi seperti tiada kesudahan.
“Saya pernah jalani penggambaran di Amerika Syarikat (AS). Di sana, sekiranya mereka tahu wujud perkara sebegini, pasti lokasi penggambaran itu terus ditutup. Tapi Finas tak ada kuasa sebegitu.
“Jadi tak boleh nak buat apa kerana tak ada kuasa di tangan,” katanya.
Sebagai seorang pengarah, Yusry, 49, berkata dia kebiasaannya mengehadkan waktu bekerja untuk pekerja-pekerjanya sehingga 12 jam saja.
Tindakan memaksa seseorang bekerja sehingga lebih 20 jam setiap hari memang melampau selain boleh menyebabkan pelakon itu ‘pancit', katanya.
“Orang kerja lama-lama pun kualiti tak ke mana. Kita manusia, ini bukan soal pelakon punya stamina saja, otak pengarah pun akan jadi tepu,” kata suami kepada Lisa Surihani itu lagi.
Yusry berkata demikian pada sidang media pelancaran drama bersiri terbaru lakonannya, Legenda Puteri Qaseh di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya semalam.
Selain Yusry, turut menjayakan kisah itu adalah pelakon seperti Lisa Surihani, Qasrina Karim, Norman Hakim, Aziz M.Osman, Chew Kin Wah dan Bella Dowana.
Legenda Puteri Qaseh dijadual bermula tayangan pada 9 Januari setiap Isnin pada jam 9 malam di Astro Ceria (Saluran 611).
Bagaimanapun, Yusri tidak menafikan sesekali dia juga terlajak waktu bekerja atas sebab-sebab yang memang tidak dapat dielakkan.
Namun, katanya lagi, dia akan berbincang untuk mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu dengan segera.
“Kadang-kala timbul situasi pengarah terpaksa melakukan penggambaran yang memerlukan tempoh panjang kerana mengejar deadline yang ditetapkan.
“Antara punca penggambaran membabitkan tempoh lama ialah disebabkan faktor tertentu seperti hujan, set nak dirobohkan atau pelakon terbabit dengan jadual penggambaran lain.
“Saya sendiri pernah meminta pelakon dan kru bekerja untuk 46 jam agar mempunyai masa terluang untuk berehat, tapi kami sudah berbincang secara lisan dan pelakon tiada masalah. Ini semua atas budi bicara,” katanya.
Ditanya sama ada keperluan untuk kerja lebih masa biasanya dinyatakan dalam kontrak yang ditandatangani pelakon atau tidak, Yusry berkata perkara itu tidak termaktub dalam perjanjian.
Jelasnya, perkara itu biasanya dibuat hanya secara lisan antara pengarah, pelakon dan kru.
“Dalam kontrak, produksi hanya meletakkan syarat pelakon perlu menghabiskan penggambaran.
“Jadi saya harap pelakon dapat bertolak-ansur sekiranya wujud situasi yang tak dapat dielakkan. Jika sekali-sekala terlajak tu kenalah faham,” katanya.